Anda di sini

Mahkamah putuskan kes rasuah bekas majistret 11 Januari depan 

Advertisement
 

KUANTAN: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 11 Januari depan untuk membuat keputusan kes rasuah bekas majistret yang menghadapi enam pertuduhan meminta dan menerima suapan daripada seorang peniaga, dua tahun lepas. 

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain menetapkan tarikh itu semalam selepas mendengar hujahan di akhir kes pembelaan dalam kes melibatkan tertuduh Mohamad Amin Shahul Hamid, 40, yang sebelum ini berkhidmat di mahkamah di Lipis dan Raub. 

Tertuduh didakwa meminta suapan berjumlah RM100,000 dan menerima suapan bernilai RM110,000 daripada Hassan Basri Ahmad Sutan Modo di sekitar Lipis dan Raub antara 5 Julai hingga 22 Oktober 2019.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk tertuduh hanya mengenakan denda dan tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadap Hassan Basri yang didakwa memiliki rokok seludup semasa kes itu didengar di hadapan tertuduh.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 9 Ogos lepas, mahkamah selepas mendengar keterangan 15 saksi pendakwaan memerintahkan tertuduh membela diri terhadap semua pertuduhan dan tertuduh memilih memberi keterangan secara bersumpah tanpa mengemukakan saksi lain bagi menyokong pembelaannya. 

Pada prosiding itu, peguam RSN Rayer yang mewakili tertuduh berhujah terdapat keraguan dalam kes itu apabila pihak pendakwaan tidak mengemukakan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) yang dikatakan bukti penting bagi menyokong dakwaan anak guamnya menerima wang berkenaan. 

"Jika pendakwaan mengambil langkah memainkan rakaman audio, mengapa tiada rakaman CCTV sedangkan pihak penyiasat sudah bersusah payah memasang CCTV di lokasi kejadian. Bukankah rakaman CCTV bukti terbaik? Kegagalan berbuat demikian seharusnya memberikan manfaat keraguan kepada tertuduh," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin membalas dengan menyatakan tiada keperluan mengemukakan rakaman CCTV kerana kes mereka disokong keterangan ramai saksi. 

Ini, menurut Wan Shaharuddin berdasarkan keterangan mangsa selaku saksi pendakwaan ke-15 yang mengesahkan ada menyerahkan wang dan beberapa saksi dari SPRM yang melihat tertuduh masuk ke kedai mangsa dan keluar dengan sebuah beg. 

"Tidak ada satu pun cadangan dikemukakan kepada saksi pendakwaan sebelum ini bahawa tertuduh ke kedai itu untuk membeli air pada hari kejadian sedangkan ada banyak peluang sejak awal untuk berbuat demikian. 

Selain itu, pihak pendakwaan juga telah mengemukakan log panggilan nombor telefon tertuduh dan saksi pendakwaan ke 15 saling berhubung maka berbohonglah jika tertuduh mengatakan dia tiada hubungan dengan mangsa," katanya. - BERNAMA 
 

Advertisement