Anda di sini

Penyertaan Malaysia kukuh dalam mod eksport bukan ekuiti

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat penyertaan kukuh dalam eksport mod bukan ekuiti (NEM) dan berkait rapat dengan rantaian nilai global syarikat-syarikat transnasional (TNC), kata Pusat ASEAN-Jepun (AJC).

Dalam kertas terbitannya bertajuk ‘Mod Perdagangan Bukan Ekuiti di ASEAN: Menggalakkan Bentuk Perdagangan Baharu antara Jepun dan ASEAN’ yang memberi tumpuan ke atas Malaysia, AJC berkata NEM yang beroperasi di negara ini merangkumi modaliti dan industri seperti subkontrak dalam elektronik, tekstil dan pakaian, perladangan kontrak dalam pertanian dan pemprosesan makanan, francais bidang perhotelan, rantaian makanan segera serta premis peruncitan.

“Daripada empat eksport utama dari Malaysia iaitu produk elektrik dan elektronik (E&E), minyak dan gas, minyak sawit serta tekstil dan pakaian produk pertama dan terakhir itu ternyata didorong oleh pelaburan langsung asing (FDI) atau NEM atau gabungan kedua-duanya," katanya.

Menurut AJC, sejak 1970-an, Malaysia merupakan pengeksport utama produk-produk elektrik dan elektronik yang masih menjanjikan potensi pertumbuhan yang kukuh bagi negara ini.

Bagaimanapun, AJC berkata biarpun muncul sebagai negara berpendapatan tengah tinggi, sebahagian besar aktiviti-aktiviti ekonomi Malaysia masih terhad kepada kegiatan dengan nilai tambah rendah dan sederhana serta belum beralih kepada aktiviti dengan nilai tambah tinggi.

Sehubungan itu, AJC menyarankan strategi berkaitan NEM diberi tumpuan termasuk melibatkan hubungan dengan rantaian nilai global TNC sebagai pembekal menerusi operasi firma tempatan dan latihan pekerja tempatan.

Ia turut menyarankan pembangunan keupayaan peringkat tinggi dalam pengurusan, inventori dan teknologi kawalan kualiti serta pengeluaran bagi memenuhi piawaian dan permintaan TNC dan penambahbaikan teknologi firma tempatan.

“Malaysia perlu menyediakan inisiatif bagi firma tempatan meningkatkan keupayaan melangkaui aktiviti-aktiviti pengeluaran peralatan tulen (OEM) kepada kegiatan reka bentuk asli dan firma tempatan juga seharusnya melancarkan pernagaan baharu bagi merangsang pertumbuhan jualan, mewujudkan peluang pekerjaan dan eksport," katanya.

Menurutnya, volum eksport langsung dan tidak langsung elektronik menerusi NEM adalah sekitar 70 peratus daripada jumlah eksport pada 2018 iaitu peningkatan daripada 66 peratus pada 2015.

“Langkah subkontrak dalam industri elektronik berkembang ketara di peringkat awal pada 1990-an sebagai persaingan yang menyaksikan TNC menyumber luar komponen dan alat gantu kepada firma tempatan untuk mengurangkan risiko.

“Dalam tempoh itu, syarikat elektronik utama menumpukan aspek penyelidikan dan pembangunan, rekaan produk dan pengurusan jenama,” katanya.

Dokumen itu menyebut, aspek subkontrak tersebut turut berkembang sebagai industri dengan nilai tambah rendah seperti pakaian, kasut dan mainan yang menyaksikan NEM Malaysia meningkat kepada pengeluaran pakaian dan aksesori berjenama tempatan seperti Padini dengan pasaran eksport utama seperti Amerika Syarikat, Jepun, Turki, Indonesia dan China. - BERNAMA
 

Advertisement