Anda di sini

Bursa Malaysia lantik ICDM untuk kendali Program Akreditasi Mandatori 

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd melantik Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) sebagai rakan pengetahuan bagi mengendalikan Program Akreditasi Mandatori (MAP) untuk kalangan pengarah syarikat awam tersenarai.

Usaha itu juga sejajar dengan matlamat bagi memperkukuh ekosistem tadbir urus koporat di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhammad Umar Swift berkata budaya tadbir urus korporat yang kukuh merupakan asas kredibiliti, tarikan serta kemampanan korporat Malaysia, terutama kepentingan peranannya dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia di masa depan.

“Usaha pengawalseliaan kendiri dalam pasaran, terutama bagi mencapai serta melebihi jangkaan kawal seliaan dan pasaran adalah penting untuk meningkatkan lagi akauntabiliti perniagaan dan kelangsungan keyakinan pasaran.

“Sehubungan itu, adalah penting bagi kalangan pengarah ini dilengkapkan dengan pemikiran dan kecekapan yang tepat daripada peringkat awal mereka dalam ruang lembaga pengarah.

“Tidak dinafikan, MAP turut berperanan sebagai pemangkin bagi aspek profesionalisme dan keberkesanan pengarah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif ICDM Michele Kythe Lim berkata sebagai Institut Pengarah (IoD) nasional yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), ICDM berperanan sebagai pusat kecemerlangan bagi pembangunan profesional pengarah dan memenuhi kitaran lengkap pengarah daripada tahap aspirasi atau peringkat awal serta pengarah baharu dan berpengalaman.

Edisi MAP yang dipertingkatkan itu merupakan program berpandangan jauh yang menerapkan prinsip-prinsip tadbir urus korporat terkini serta amalan terbaik untuk melengkapkan kalangan lembaga pengarah dengan pengetahuan asas tadbir urus korporat yang baik, tanggung jawab fidusiari selain cekap dalam bidang baharu seperti agenda kemampanan, kapitalisme pihak berkepentingan selain reputasi dan pengurusan krisis.

Antara elemen utama modul MAP adalah perkongsian pengalaman praktikal serta amalan terbaik daripada sudut konteks tempatan dan serantau oleh fasilitator program berkenaan.

Di bawah Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia, kalangan pengarah yang dilantik menganggotai lembaga pengarah syarikat tersenarai awam untuk pertama kali dan pengarah-pengarah syarikat tersenarai awam baharu diwajibkan melengkapkan program MAP tersebut.

Maklumat mengenai MAP dan kalendar 2022 boleh diperoleh di https://icdm.com.my/mandatory-accreditation-programme. - BERNAMA
 

Advertisement