Anda di sini

SUKMA: COVID-19 tidak halang atlet Sarawak jalani latihan 

Advertisement
Dr Ong (kanan) ditemani Ismail (tengah) dan Rodzli pada sidang media hari ini.
Dr Ong (kanan) ditemani Ismail (tengah) dan Rodzli pada sidang media hari ini.

KUCHING: Pandemik COVID-19 yang melanda negara ini tidak menghalang untuk atlet Sarawak meneruskan latihan mereka bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Dr Ong Kong Swee berkata, persiapan atlet tetap diteruskan malah ia telah dilaksanakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, di negeri ini.  

“Buat masa ini, atlet menghadapi cabaran mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

“Selain SOP tersebut, kekangan jurulatih sukan juga antara cabaran yang dihadapi oleh atlet sekarang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kejohanan Liga Sepak Takraw (KSL)  Persatuan Sepak Takraw (PSS) di Pusat Akuatik Pandalela Rinong, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw (PSS), Datuk Ismail Abang Saufi dan Ketua Bahagian Pembangunan Sukan (SSC), Rodzli Hashim.

Dr Ong berkata, pihaknya telah mendapatkan jurulatih dari Thailand untuk melatih atlet namun kemasukan jurulatih itu ke Sarawak agak ketat susulan pandemik COVID-19.

“Bagaimanapun, bagi mengatasi cabaran ini kita mengambil langkah melantik jurulatih tempatan untuk melatih atlet, sementara menunggu jurulatih dari Thailand sampai ke Sarawak,” jelasnya.

Katanya, memandangkan sukan sepak takraw dimasukkan semula dalam SUKMA, latihan bagi atlet sukan itu terus dilaksanakan.

“Sehingga kini, terdapat 12 hingga 13 pemain lelaki dilatih untuk sukan takraw manakala empat atau lima pemain wanita,” katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement