Anda di sini

Pekerja pasar raya didakwa bunuh budak lelaki

Advertisement
 

ROMPIN: Seorang pekerja sebuah pasar raya didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun pada minggu lepas.

Tertuduh Mohd Noor Ab Manap, 31, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wahidah Zainal Abidin, namun tiada pengakuan direkodkan daripada bapa kepada empat anak itu kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh individu dikenali sebagai Adam yang berusia lebih kurang dua tahun di sebuah rumah di Jalan Janglau 1, Kampung Janglau di sini pada 2 pagi, 11 November lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan. 

Mahkamah menetapkan 20 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan forensik.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurhalimatun Saadiah Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Deniel Roslan. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin DSP Mohd Azahari Mukhtar dalam kenyataan hari ini berkata mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Rompin pada 4 pagi, 11 November. 

Beliau berkata mangsa sebelum itu dibawa ke hospital pada 2 pagi hari sama dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh seorang lelaki dipercayai bapa angkat kanak-kanak tersebut.

Pemeriksaan lanjut oleh pegawai perubatan mendapati terdapat kecederaan seperti kesan lebam di belakang badan dan bahagian perut mangsa dipercayai akibat dipijak, katanya. 

Difahamkan, mangsa warga Indonesia yang sudah kematian ibu dan tidak mempunyai bapa telah diserahkan abang ipar suspek untuk dijaganya sejak Disember tahun lepas. - Bernama 

Advertisement