Anda di sini

Lelaki halang tugas polis didenda RM5,000

Advertisement
 

KUCHING: Akibat enggan mengemukakan dokumen pengenalan diri apabila diminta polis, seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini. 

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman tersebut selepas perbicaraan penuh dijalankan dan Avinash Ram Asnani, 45, yang bekerja sendiri, didapati bersalah atas pertuduhan menghalang tugas penjawat awam. 

Mahkamah juga menetapkan tertuduh untuk dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menghalang tugas dua anggota polis dalam satu kejadian berhampiran lampu isyarat di Jalan Song, di sini, jam 7.40 pagi pada 28 Mac 2020. 

Mengikut keterangan kes, polis menerima arahan daripada Kawalan Kuching untuk pergi ke kawasan lampu isyarat tersebut untuk membuat pemeriksaan.

Anggota polis kemudian menjumpai sebuah kereta diletakkan di sana.

Mereka menghampiri kereta tersebut dan mengetuk cermin pemandu serta memperkenalkan diri sebagai anggota polis dengan menunjukkan kad kuasa polis.

Anggota polis seterusnya mengarahkan tertuduh untuk mengeluarkan kad pengenalan diri namun tertuduh enggan memberikan kerjasama. 

Tertuduh sebaliknya keluar dari keretanya dan memarahi serta mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis tersebut. 

Anggota polis turut mengarahkan tertuduh untuk balik tetapi tertuduh enggan. 

Sebaliknya, tertuduh sekali lagi mengeluarkan kata-kata kesat berbaur ugutan terhadap anggota polis bertugas, sebelum memecut keretanya dan beredar dari tempat kejadian.

Keadaan ini telah memalukan dan menjatuhkan maruah anggota polis yang menjalankan tugas. 

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Francis Wee.

Advertisement