Anda di sini

Koperal lepas dan bebas tuduhan ambil dadah

Advertisement
 

KUCHING: Seorang anggota polis berpangkat Koperal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini daripada pertuduhan mengambil dadah jenis amphetamine dan methamphetamine pada 2017. 

Keputusan itu dibuat oleh Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali terhadap Asriandy Asmad, 38, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan. 

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berusia 35 tahun pada waktu kejadian didakwa mengambil dadah tersebut pada 25 Julai 2017, jam 11.30 pagi di Mess Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.

Seramai lebih kurang enam saksi dipanggil untuk memberikan keterangan dalam kes ini.

Tertuduh diwakili peguam, Osman Ibrahim manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadratun Naim Mohd Saidi.

  • oleh
  • Advertisement