Anda di sini

BNM umum pelantikan semula tiga ahli Majlis Penasihat Shariah

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (Bank) mengumumkan pelantikan semula tiga ahli Majlis Penasihat Shariah (MPS) untuk tempoh tiga tahun, berkuat kuasa 1 Nov, 2021.

Katanya ahli-ahli yang dilantik semula ialah Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir; Ketua Jaminan Kualiti, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA) Dr Marjan Muhammad; dan Pengasas dan Rakan Kongsi Kanan Zainal Abidin & Co (Peguambela dan Peguamcara) Zainal Abidin Jamal.

BNM berkata pelantikan semula ahli-ahli MPS ini telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengikut peruntukan seksyen (53) (1), Akta Bank Negara Malaysia 2009. 

"Dengan pelantikan semula ini, MPS dibarisi sembilan orang ahli yang berkelayakan dan berwibawa dalam kalangan cendekiawan Syariah dan pengamal industri yang berpengalaman luas di dalam dan luar negara, terutamanya dalam bidang Syariah, undang-undang serta ekonomi dan kewangan Islam,'’ katanya dalam satu kenyataan.

Enam ahli yang lain ialah Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar sebagai pengerusi;  Prof Dr Ashraf Md Hashim sebagai Timbalan Pengerusi; Prof Dr Mohamad Akram Laldin; Prof Dr Engku Rabiah Adawiah Engku Ali; Datuk A Aziz A Rahim dan Burhanuddin Lukman.

Bank pusat berkata sebagai badan berautoriti tertinggi dalam penentuan hukum Syarak berhubung dengan kewangan Islam, MPS memainkan peranan penting bagi memelihara kepatuhan Syariah dan mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap industri kewangan Islam yang membolehkan perkhidmatan kewangan ditawarkan mengikut prinsip Syariah.

"Sebagai badan berautoriti tertinggi, keputusan MPS menjadi sumber rujukan institusi-institusi kewangan Islam dalam memastikan semua perniagaan dan aktiviti serta produk dan perkhidmatan kewangan adalah mematuhi prinsip Syariah.

"Selain itu, keputusan MPS juga menjadi rujukan mahkamah dan penimbang tara dalam mengendalikan dan memutuskan pertikaian atau kes-kes yang berkaitan kewangan Islam," tambahnya. - Bernama 

Advertisement