Anda di sini

Belanda sahkan tiket ke Piala Dunia

Advertisement
 Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022 Kumpulan G Zon Eropah di antara Belanda dan Norway di Stadium Feijenoord di Rotterdam. — Gambar AFP
AKSI TUMPUAN: Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022 Kumpulan G Zon Eropah di antara Belanda dan Norway di Stadium Feijenoord di Rotterdam. — Gambar AFP


ROTTERDAM: Dua gol lewat oleh Steven Bergwijn dan Memphis Depay memastikan Belanda mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2022 di Qatar, ketika menangani cabaran Norway untuk menang 2-0 di Rotterdam pada Selasa.

Bergwijn, pemain yang paling menyertai di sayap kanan, merembat bola selepas menerima umpanan Arnaut Danjuma pada mini tke-83 permainan di mana kedua-dua pasukan pada awalnya bergelut mencipta peluang.

Bergwijn sekali lagi memainkan peranan penting dalam gol kedua Belanda beberapa minit kemudian selepas satu serangan pantas dengan larian dari jauh sebelum mengumpan bola kepada Depay untuk menewaskan penjaga gol Orjan Nyland untuk kali kedua pada perlawanan itu.

Gol ke-12 Depay dalam  kempen kelayakan melengkapkan malam yang manis buat Belanda, yang hanya memerlukan keputusan seri menentang Norway untuk menamatkan saingan Kumpulan G kelayakan Zon Eropah selaku juara, di hadapan Turki dan Norway.

“Mereka melaksanakan pelan permainan, mereka bermain lebih baik,” kata jurulatih Belanda, Louis van Gaal.

Van Gaal mengakui dia ‘bimbang semuanya mungkin silap”, terutama sekali selepas pasukannya seri 2-2 dengan Montenegro minggu lepas apabila bolos dua gol pada 10 minit terakhir.
“Tetapi malam ini kami mengawal permainan,” tambahnya.

Kedua-dua pasukan kelihatan bermain secara berhati-hati pada perlawanan dalam cuaca sejuk dan berhujan di De Kuip dan perlawanan juga kelihatan lebih memberi tumpuan kepada bertahan.

Sepanjang perlawanan, Belanda bagaimanapun mencipta lebih banyak peluang dan Norway tidak seperti mampu mengancam pintu gol Belanda yang diterajui penjaga gol veteran, Jasper Cillessen.

Belanda bermula dengan satu kekurangan selepas Van Gaal mengalami kecederaan ketika terjatuh pada Ahad dan hanya menjadi penonton menggunakan kerusi roda di tempat duduk penonton.

Ini menyebabkan Van Gaal sentiasa memberikan arahan kepada kakitangan kejurulatihannya di tepi padang.

Peluang awal Belanda ialah apabila Danjuma melihat rembatannya pada minit  ke-26 sedikit tersasar.

Ia diikuti dengan beberapa cubaan dan tandukan ke pintu gol oleh Depay tetapi kesemuanya berjaya diselamatkan oleh Nyland.

Norway ternyata merasai ketiadaan penyerang bintang Erling Haaland, yang tidak beraksi kerana kecederaan kerana mereka kelihatan tidak langsung mencemaskan Cillessen dan peluang terbaik hanya satu rembatan yang melambung tinggi pada minit ke-88.

Kapten Belanda, Virgil van Dijk, memuji pasukannya dengan berkata: “Ia kemenangan yang hebat, kami kelihatan tidak memberikan sebarang ruang kepada mereka.” – AFP

Advertisement