Anda di sini

Warga asing terlepas tali gantung, dipenjara 13 tahun

Advertisement
 Odang dibawa keluar dari kamar Mahkamah Tinggi selepas dijatuhi hukuman bagi pertuduhan membunuh tanpa niat.
DIPENJARA: Odang dibawa keluar dari kamar Mahkamah Tinggi selepas dijatuhi hukuman bagi pertuduhan membunuh tanpa niat.

SIBU: Seorang lelaki warga Indonesia yang didakwa atas tuduhan membunuh, terlepas daripada hukuman mati hari ini selepas Mahkamah Tinggi mendapati dia bersalah atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat.

Tertuduh Odang, 33, dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dari tarikh dia tangkap setelah disabitkan bersalah di bawah pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Pesuruhjaya Kehakiman Christopher Chin membuat keputusan untuk mensabitkan tertuduh di bawah pertuduhan pindaan selepas mendapati sabitan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dikenakan terhadap tertuduh sebelum ini adalah tidak wajar kerana tertuduh bertindak demikian untuk mempertahankan diri.

Beliau berkata, tiada bukti lain atau motif lain di pihak tertuduh untuk mencederakan mangsa selain tindakan mempertahankan diri.

Bagaimanapun, beliau percaya tertuduh tidak boleh dibebaskan sepenuhnya kerana tertuduh bertindak melampaui daripada perbuatan mempertahankan diri.

“Tertuduh mengejar si mati dan memukulnya berulang kali. Tertuduh berkata, dia takut si mati akan kembali mencederakannya.

“Jadi, dengan fikiran itu, dia mengejar dan menikam si mati lagi. Niatnya untuk memastikan mangsa tidak kembali untuk membalas dendam,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan, Odang menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Seksyen itu membawa hukuman mati.

Dia dituduh membunuh rakan senegara yang dikenali sebagai Rianto di ladang kelapa sawit di Mukah antara 9.30 malam pada 20 Februari 2019 dan 7.20 pagi pada 21 Februari 2019.

Mangsa dikatakan mahu menjual dadah kepada tertuduh dan meminta mangsa berjumpa dengannya di kawasan berhampiran.

Apabila tertuduh enggan membeli dadah tersebut, mangsa cuba mengambil wang dari poket tertuduh dan menyerang tertuduh dengan sebilah pisau.

Tertuduh turut menyerang mangsa menggunakan pisaunya. Selepas serangan itu, mangsa melarikan diri dan tertuduh mengejarnya.

Dalam rayuan, peguam bela Ranbir Singh Sangha memberitahu mahkamah bahawa tertuduh telah bekerjasama dengan polis dan tidak pernah cuba melarikan diri.

Beliau berkata, tertuduh adalah warga Indonesia dan oleh itu tidak syak lagi selepas menjalani hukuman, dia akan dihantar pulang ke Indonesia dan tidak akan dibenarkan masuk semula ke Sarawak.

Oleh itu katanya, tertuduh tidak akan menjadi ancaman kepada masyarakat Malaysia.

Timbalan Pendakwa Raya, Rex Heng Yi Ming berkata mahkamah harus menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada yang lain.

Beliau berkata mahkamah telah melalui perbicaraan panjang yang memakan masa dan kos mahkamah, yang dibayar oleh pembayar cukai.

  • oleh
  • Advertisement