Anda di sini

Rosakkan pintu bilik kerana rokok, penganggur didenda

Advertisement
 

KUCHING: Padah merosakkan pintu bilik setelah adik perempuan enggan membeli rokok susulan adiknya positif COVID-19, seorang penganggur lelaki didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Zaiton Anuar juga menetapkan Jannis Teng, 34, untuk dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. 

Lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan pintu bilik tidur milik bapanya, 56, dalam satu kejadian pada 22 Ogos lalu, jam lebih kurang 7.15 malam di kediaman mereka di Taman Malihah Matang, di sini. 

Berdasarkan keterangan kes, berlaku pergaduhan antara tertuduh dengan adik perempuannya pada hari kejadian susulan adiknya tidak mahu membeli rokok untuk tertuduh.

Tertuduh yang berada dalam keadaan agresif kemudiannya bertindak merosakkan pintu kayu bilik tidur milik bapanya, sehingga bapanya mengalami kerugian berjumlah RM200.

Difahamkan, adik tertuduh enggan menurut permintaan tertuduh pada ketika itu kerana dia sedang menjalani kuarantin setelah disahkan positif COVID-19. 

Tertuduh dalam pada itu juga dikatakan mempunyai rekod lampau membabitkan penyalahgunaan dadah. 

Sehubungan itu, laporan polis dibuat sehingga membawa kepada penangkapan tertuduh. 

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement