Anda di sini

Remaja Indonesia didenda akibat judi dalam talian

Advertisement
 

KUCHING: Seorang remaja lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman denda RM10,000 atau sebulan penjara sekiranya gagal membayar di Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian. 

Tertuduh yang berusia 16 tahun dan berasal dari Bengkayang, Indonesia itu mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali. 

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut. 

Berdasarkan pertuduhan, remaja itu didakwa mengendalikan mesin perjudian dalam talian iaitu sebuah telefon bimbit pada 6 November lalu, jam lebih kurang 9.20 malam di sebuah rumah di Kampung Panglima Seman di sini. 

Menurut fakta kes, sepasukan polis membuat serbuan di rumah tersebut setelah mengesyaki penghuninya menjalankan kegiatan perjudian dalam talian menggunakan aplikasi dalam telefon bimbit. 

Siasatan laporan pakar judi juga mengesahkan telefon bimbit berkenaan adalah mesin judi, seperti dinyatakan di bawah tafsiran Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953. 

Selain telefon bimbit, turut dirampas adalah wang tunai berjumlah RM110 serta keratan kertas yang bertulis ID dan kata laluan judi dalam talian. 

Oleh itu, tertuduh didakwa dan disabitkan mengikut Seksyen 4B(a) ARJT 1953 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 bagi setiap mesin judi dan hukuman penjara maksimum lima tahun. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Advertisement