Anda di sini

Kementerian Pengajian Tinggi bersedia melangkah ke fasa endemik

Advertisement
 

PUTRAJAYA: Empat Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari Anggota Jemaah Menteri (AKM 100 Hari) yang diketengahkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) disifatkan sebagai satu permulaan yang baik untuk institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini melangkah ke fasa endemik.


Aspirasi itu meliputi pemberian baucar makanan percuma melalui Program FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia dan pemberian vaksin kepada warga pendidikan tinggi melalui Program VACC2CAMPUS.


Selain itu, pembekalan Ujian Rapid Test Kit (RTK) kepada pelajar IPT melalui Program RTK@CAMPUS dan penawaran peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan kepada pelajar IPT melalui Program GETHIRED@KPT.


KPT dalam kenyataannya berkata, kesihatan dan kebajikan seluruh warga pendidikan tinggi di negara ini perlu diutamakan dan harus dipastikan di tahap yang terbaik sebelum melangkah ke fasa endemik.


Katanya, bagi tujuan itu, KPT berharap kumpulan sasaran akan berasa lebih selamat dan terjaga terutamanya dari aspek kebajikan dan keselamatan dengan adanya bantuan-bantuan berbentuk nyata seperti dalam AKM 100 hari.


“Sudah tentu menjadi harapan agar semua pihak mendapat manfaat secara langsung atau tidak langsung daripada inisiatif yang KPT ketengahkan ini,” kata kenyataan itu.


Menurutnya, KPT juga berada di landasan yang betul dan tepat untuk mencapai AKM 100 Hari memandangkan pencapaian kementerian amat memberangsangkan biarpun baru memasuki hari ke-70 pada 12 November lalu.


Kata kenyataan itu lagi, untuk Program FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia, pihak kementerian setakat ini telah mengagihkan sebanyak 382,259 baucar makanan kepada kumpulan sasaran. 


Bagi pemberian vaksin kepada warga pendidikan tinggi melalui Program VACC2CAMPUS pula, KPT berkata, 86 peratus atau 1,086,469 orang telah menerima vaksinasi lengkap.


Menurutnya, pecahan ialah 84 peratus atau 959,917 pelajar daripada 1.15 juta pelajar IPT telah menerima dos lengkap secara keseluruhannya. 


Manakala katanya, bagi staf akademik dan bukan akademik pendidikan tinggi, adalah sebanyak 92 peratus atau 120,187 orang telah menerima vaksinasi lengkap. 
“Dengan kerjasama pelbagai pihak, termasuk pihak Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) yang membenarkan vaksinasi secara ‘walk-in,’ dijangkakan pada 7 Disember depan, kesemua 100 peratus warga pendidikan tinggi lengkap divaksin,” ujarnya.


Seterusnya, KPT berkata, untuk AKM yang ketiga, iaitu pembekalan kit ujian RTK kepada pelajar IPT melalui Program RTK@CAMPUS pula, sebanyak 1,169,728 unit kit telah berjaya dibekalkan kepada IPT.


Mengulas lanjut, KPT memaklumkan, bagi aspirasi keempat iaitu penawaran peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan kepada pelajar IPT melalui Program GETHIRED@KPT, seramai 13,231 pelajar warganegara Malaysia telah mendapat penempatan pekerjaan dan penjanaan pendapatan. 

KPT kekal positif hadapi cabaran

Sementara itu, dalam menjayakan AKM 100 Hari ini, KPT tidak terkecuali daripada berdepan cabaran tertentu, namun kementerian sentiasa positif kerana menganggap cabaran tersebut sebagai lumrah biasa dalam kehidupan.


“Sesungguhnya setiap apa yang dilakukan dalam mencapai sesuatu perkara itu ada cabarannya. Seperti kata-kata Mark Twain, seorang penulis Amerika yang menyebut bahawa ‘Cabaran membuatkan hidup kita menarik, tetapi mengatasi cabaran itu menjadikan hidup kita lebih bermakna’,” kata kenyataan tersebut.
Justeru katanya, KPT menyifatkan cabaran yang dihadapi dalam menjayakan aspirasi itu sebagai peluang dan juga ruang untuk menambah baik sistem yang ada. 
Memberi contoh Program FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia, KPT berkata, dalam memastikan keberkesanannya, proses untuk mengenal pasti pelajar B40 yang betul-betul memerlukan bantuan tersebut merupakan kunci utama.


Ini menurutnya, bagi mengelakkan berlakunya pembaziran selain semua universiti awam di negara ini perlu memastikan data pelajar yang ada dikemas kini secara telus, pantas dan tepat. 


“Begitu juga untuk Program VACC2CAMPUS. Kejituan data warga IPT yang masih belum divaksinasi dari aplikasi MySejahtera adalah penting supaya matlamat untuk mewujudkan imuniti kelompok dalam kalangan komuniti kampus dapat dicapai dengan jayanya.


“Ini memerlukan pihak KPT bekerja secara rapat dengan pihak CITF dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia. Alhamdulillah, KPT mendapat kerjasama yang amat baik daripada kedua-dua pihak ini,” katanya.


Seterusnya, bagi pelaksanaan Program GETHIRED@KPT pula, KPT mengakui untuk menganjurkan program secara bersemuka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan antara cabaran besar yang dihadapi oleh pihak kementerian. 


Bagaimanapun, dengan kebanyakan negeri telah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara, KPT meletakkan harapan agar program ini dapat berjalan dengan lebih lancar dan berkesan.


Dalam pada itu, KPT berkata, semua inisiatif yang dinyatakan itu merupakan manifestasi keprihatinan kementerian dan kerajaan terhadap kebajikan para pelajar secara khusus, dan kesejahteraan Keluarga Malaysia secara umumnya.


“Sudah tentu menjadi harapan agar semua pihak mendapat manfaat secara langsung atau tidak langsung daripada inisiatif yang KPT ketengahkan ini.


“Sesungguhnya, semua inisiatif yang dinyatakan ini merupakan manifestasi keprihatinan KPT dan juga kerajaan terhadap kebajikan para pelajar secara khusus, dan kesejahteraan Keluarga Malaysia secara umumnya,” kata kenyataan itu.

  • oleh
  • Advertisement