Anda di sini

Empat guru wanita sesat 10 jam di Bukit Panchang

Advertisement
 Semua mangsa yang baru sahaja berjaya diselamatkan.
SELAMAT: Semua mangsa yang baru sahaja berjaya diselamatkan.

TAWAU: Gara-gara mengikut tanda tali kuning, empat guru tadika berdepan detik cemas apabila sesat lebih 10 jam di hutan Bukit Panchang, Tinagat, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, Nurzalina Suani, 27, Sharmila Maksum, 25, Dayang Noraisyah Faizal, 26, dan Juliana Julasri, 25, dalam perjalanan turun dari puncak bukit berkenaan dengan mengikuti tanda tali kuning sepanjang perjalanan.

Difahamkan, sebelum kejadian, empat sekawan itu ke bukit berkenaan pada jam 9 pagi untuk meraikan hari lahir salah seorang daripada mereka.

Bagaimanapun, mereka mula menyedari sesat selepas hampir empat jam berjalan dan tidak menemui jalan keluar yang biasanya mengambil masa antara 30 minit hingga satu jam.

Mangsa kemudian menghubungi rakan lain menerusi aplikasi WhatsApp memaklumkan keadaan mereka, sebelum dimaklumkan kepada penduduk kampung bagi mendapatkan bantuan awal.

Sebaik dimaklumkan, sekumpulan penduduk diketuai Ketua Kampung Tinagat bergegas ke lokasi kejadian untuk mencari mangsa.

Namun, usaha mencari mangsa mengalami kesukaran disebabkan keadaan hujan dan gelap sebelum mereka ditemui kira-kira jam 10 malam di lereng Bukit 38.

Sebaik ditemui, semua mangsa menangis dan saling berpelukan di kawasan lereng bukit.

Seorang daripada mangsa, Sharmila, memaklumkan mereka terpaksa menahan kesejukan selepas hujan turun beberapa kali sepanjang mereka berada di hutan.

“Kami mengalas perut dengan coklat yang dibawa, dan terpaksa menunggu di lereng bukit berkenaan kerana terdapat liputan telekomunikasi di situ.

“Maaf kepada semua pihak dan terima kasih kerana mendoakan keselamatan kami,” katanya.

 Anggota Bomba dan penduduk kampung dalam operasi mencari dan menyelamat.
BANTUAN: Anggota Bomba dan penduduk kampung dalam operasi mencari dan menyelamat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stphen Jr. berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian itu pada jam 8 malam, semalam.

“Sepasukan empat anggota dan pegawai digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, kami difahamkan terdapat empat mangsa perempuan sesat di hutan semasa menjalankan aktiviti mendaki,” katanya.

Katanya, mangsa ditemui kira-kira lapan kilometer dari pusat operasi kawalan bomba di kaki Bukit Akar.

“Mereka berjaya dibawa keluar dan tiba di pusat operasi jam 12.34 tengah malam dalam keadaan selamat.

“Hanya seorang daripada mangsa mengalami luka kecil dan dirawat Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Tawau dan operasi menyelamat mangsa tamat jam 1 pagi,” katanya.

Dalam pada itu, Julius menasihatkan orang ramai melakukan persiapan lengkap termasuk bekalan makanan dan lampu suluh sebelum melakukan pendakian.

“Orang ramai juga diminta mendapatkan permit dari pihak berkuasa sebelum melakukan aktiviti pendakian di sini dan segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya berlaku kecemasan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada penduduk kampung dan lebih 20 pendaki bebas yang turut sudi menawarkan bantuan sepanjang operasi mencari mangsa,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement