Anda di sini

Rice menarik diri dari skuad England kerana tidak sihat

Advertisement
Gambar fail bertarikh 5 September 2020 ini menunjukkan Rice semasa beraksi bersama England dalam aksi Liga Negara UEFA. — Gambar AFP
Gambar fail bertarikh 5 September 2020 ini menunjukkan Rice semasa beraksi bersama England dalam aksi Liga Negara UEFA. — Gambar AFP

LONDON: Pemain tengah, Declan Rice, menarik diri dari skuad England untuk kempen kelayakan Piala Dunia 2022 kerana tidak sihat.

Rice akan terlepas aksi menentang Albania dan San Marino ketika England mengesahkan kelayakan ke Qatar, tuan rumah Piala Dunia 2022.

“Declan Rice menarik diri dari skuad England. Selepas gagal berlatih kerana tidak sihat sejak melaporkan diri ke (kem latihan) St. George’s Park, pemain tengah itu sudah kembali ke kelabnya, West Ham United dan tidak akan terlibat dengan mana-mana perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022,” kata satu kenyataan badan induk bola sepak Inggeris (FA).

“Tiada tambahan ke dalam skuad dirancang ketika ini. Mason Mount dan Luke Shaw masih belum dipanggil dan akan terus dipantau selepas masing-masing menjalani pembedahan gigi dan juga mengalami konkusi.”

Jurulatih England, Gareth Southgate sudah kehilangan beberapa pemain dengan penyerang Marcus Rashford dan James Ward-Prowse juga tidak dipanggil kerana isu kecergasan.

Pemain tengah  kelab Arsenal, Emile Smith Rowe, disenaraikan ke dalam skuad untuk panggilan  pertama ke skuad senior England selepas Rashford dan Ward-Prowse tidak disenaraikan.

England, naib juara Euro 2020, berada di tangga teratas Kumpulan I dan memerlukan empat mata dari dua perlawanan terakhir untuk mengesahkan tempat ke Qatar.
Mereka menanti kunjungan Albania di Stadium Wembley  hari ini sebelum bertandang ke San Marino pada  Isnin. – AFP

Advertisement