Anda di sini

Ceroboh Astana Negeri nak jumpa TYT, penganggur didenda

Advertisement
Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUCHING: Seorang penganggur lelaki didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menceroboh Astana Negeri Sarawak atas alasan hendak berjumpa dengan Tuan Yang Terutama (TYT), Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. 

Majistret Zubaidah Sharkawi juga menetapkan tertuduh, Mohamad Firdaus Mohamad Ali, 35, untuk dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda. 

Mengikut pertuduhan, lelaki dari Debak itu didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan Astana Negeri Sarawak tanpa kebenaran pada 15 September lalu, jam lebih kurang 6.46 pagi di Jalan Astana, di sini. 

Berdasarkan fakta kes, pasukan keselamatan kawasan tersebut yang menjalankan rondaan menemui tertuduh berdiri di hadapan premis tersebut tanpa sebarang alasan munasabah. 

Tertuduh dikatakan berada dalam keadaan berhalusinasi dan dikatakan tidak melakukan apa-apa pada waktu kejadian. 

Difahamkan, tertuduh yang berjalan kaki juga menyatakan dia mahu berjumpa dengan TYT namun gagal menjelaskan atas tujuan apa. 

Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan tertuduh juga mendapati tiada barangan menyalahi undang-undang. 

Tiada kerugian dialami dan tidak ada kerosakan harta benda dilaporkan. 

Untuk perbuatan itu, tertuduh didakwa dan disabitkan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 
 

  • oleh
  • Advertisement