Anda di sini

Timor Leste pilihan uji kemampuan Skuad Harimau Malaya

Advertisement
Gambar Bernama
Gambar Bernama

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berusaha untuk memastikan skuad kebangsaan mendapat sekurang-kurangnya satu perlawanan pemanas badan sebelum memulakan kempen Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 di Singapura bermula 5 Disember ini.

Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar (gambar) berkata setakat ini pasukan Timor Leste menjadi pilihan utama sebagai lawan untuk menguji tahap kemampuan skuad Harimau Malaya bimbingan Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe.

Bagaimanapun, beliau berkata perlawanan persahabatan itu boleh diadakan sekiranya mendapat kebenaran AFF.

"Selepas Brunei sah menarik diri daripada kempen Piala AFF 2020, hanya ada satu pasukan yang boleh kita atur aksi persahabatan iaitu Timor Leste.

"Tetapi kita perlu dapatkan kelulusan AFF kerana terdapat syarat bagi mengatur aksi persahabatan di Singapura kerana kita masih tidak boleh bermain di sini (Malaysia)," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Jam Tangan Edisi Terhad G-SHOCK dan FAM di Wisma FAM di Kelana Jaya di sini semalam.

Pada kempen Piala AFF 2020, Malaysia diundi dalam Kumpulan B yang juga ‘kumpulan maut’ akan memulakan saingan bertemu Kemboja pada 6 Disember, diikuti Laos (9 Disember) dan dua pertembungan epik menentang juara edisi 2018 Vietnam (12 Disember) dan Indonesia (19 Disember), untuk meraih slot separuh akhir.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Saifuddin berkata tempoh kuarantin skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara termasuk para pegawai pasukan yang pulang dari menyertai kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun di Ulaanbaatar, Mongolia baru-baru ini terpaksa dilanjutkan tujuh hari lagi.

Katanya, ia disebabkan seorang daripada pegawai pasukan disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan pada 5 Nov sekali gus menyaksikan kesemua pemain, pegawai dan jurulatih yang sepatutnya menamatkan proses kuarantin semalam perlu 'ditahan' hingga 16 November ini.

"Pegawai tersebut telah dipindahkan dari hotel ke pusat kuarantin COVID-19 dan setakat ini barisan pemain, jurulatih dan pegawai yang lain dalam keadaan sihat. Keadaan tidak membimbangkan," kata Mohd Saifuddin.

Dalam pada itu, beliau berkata FAM sedang menunggu keputusan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung insiden penyokong memasuki padang pada aksi Piala Malaysia antara Selangor FC dan Terengganu FC baru-baru ini.

Mohd Saifuddin berkata semua perkara berkaitan operasi saingan Liga Malaysia (Liga-M) berada di bawah seliaan MFL, namun hukuman boleh diambil FAM terhadap pasukan sekiranya perkara itu dibawa ke Jawatankuasa Disiplin badan induk itu.

"MFL akan mengambil tindakan yang sepatutnya, jika perkara tersebut perlu dibawa kepada Jawatankuasa Disiplin dan barulah kita (FAM) ambil alih, sebelum itu MFL perlu menentukan sama ada bersalah atau tidak," katanya. - BERNAMA

Advertisement