Anda di sini

Sabah pertimbang ujian kendiri COVID-19 sebagai syarat kemasukan

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Pengurusan COVID-19 Negeri Sabah sedang mempertimbangkan untuk memasukkan ujian kendiri COVID-19 sebagai syarat kemasukan bagi individu yang datang ke Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, buat masa ini, selain lengkap vaksinasi, individu dari Semenanjung dan Sarawak perlu menjalani ujian RT-PCR atau RTK-Ag tiga hari sebelum memasuki Sabah.

Katanya, keputusan membenarkan individu dari Wilayah Persekutuan Labuan masuk ke Sabah tanpa perlu mengambil ujian COVID-19 bukannya soal dua darjat.

Menurutnya, keputusan itu adalah berdasarkan kebimbangan berikutan keadaan jangkitan kes di Sabah belum stabil.

"Kalau dilihat kes di Sabah macam main 'yo-yo', sekejap turun sekejap naik.

"Saya rasa kestabilan kes di Sabah belum sampai tahap yang membolehkan kita memberi kebenaran untuk semua masuk ke Sabah tanpa syarat selain lengkap vaksin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan pembukaan pasar raya Kojasa Mart di sini hari ini.

Masidi berkata, Jawatankuasa Pengurusan COVID-19 Negeri Sabah sentiasa berusaha untuk memudahkan perjalanan termasuk individu yang mahu masuk ke Sabah.

Katanya, langkah mempertimbangkan ujian kendiri COVID-19 sebagai syarat kemasukan ke Sabah antara usaha yang dibuat kerajaan negeri.
 

  • oleh
  • Advertisement