Anda di sini

KL City FC berdepan Selangor FC di suku akhir, TFC jumpa Sarawak United FC

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Jaringan oleh pemain tengah Zhafri Yahya di hujung babak perlawanan membantu Kuala Lumpur (KL) City FC mengatasi Sri Pahang FC 1-0 pada aksi terakhir saingan peringkat kumpulan kempen Piala Malaysia 2021 di Stadium Darul Makmur malam Rabu.

Kemenangan itu membolehkan skuad The City Boys mengesahkan kemaraan ke suku akhir selaku juara Kumpulan A dengan mengumpul 14 mata, selain berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dengan dua keputusan seri dalam keseluruhan enam aksi.

Meskipun peluang mara ke suku akhir sudah tertutup buat tuan rumah, namun skuad Tok Gajah tetap memberikan tentangan sengit sepanjang perlawanan sebelum KL City FC memecah kebuntuan menerusi rembatan 'volley' Zhafri dalam kotak penalti pada minit ke-83.

Menanti KL City FC di pentas suku akhir adalah naib juara Kumpulan B, Selangor FC yang bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Perak FC 2-1 pada pertembungan di Stadium Perak, Ipoh.

Pada aksi itu, episod kebangkitan skuad Gergasi Merah bermula pada minit ke-72 selepas penyerang Sean Eugene Selvaraj menyudahkan hantaran lintang Danial Asri untuk gol penyamaan selepas ketinggalan hasil tandukan Royizzat Daud seawal minit ke-10.

Wan Zack Haikal Wan Nor muncul wira Selangor FC di Ipoh apabila meledak gol kemenangan menerusi sepakan percuma pada minit ke-85 sekali gus memberikan keyakinan serta motivasi kepada pasukan bagi menghadapi cabaran getir di suku akhir.

Sementara itu, juara Kumpulan B menjadi milik Terengganu FC (TFC) biarpun sekadar seri 1-1 berdepan Kuching City FC di Stadium Negeri di Kuching.

Pasukan bimbingan Mohd Nafuzi Zain terlebih dahulu berada di depan hasil sentuhan Mohammad Rahmat Makasuf pada minit ke-19 sebelum Kuching City FC menyamakan kedudukan menerusi pemain import Yuta Suzuki pada minit ke-46.

Sebagai juara kumpulan, TFC yang mengumpul 16 mata selepas merekodkan lima kemenangan dan satu seri akan membuat perhitungan di suku akhir menentang naib juara Kumpulan A Sarawak United FC yang kecundang di tangan Penang FC 1-2 di Stadium UiTM, Shah Alam.

Jaringan Christie Jayaseelan pada minit ketujuh memastikan Sarawak United FC memulakan perlawanan dengan bergaya sebelum Penang FC bangkit menyamakan kedudukan lima minit berselang menerusi sepakan percuma Muhammad Jafri Firdaus Chew.

Pemain sayap Mohammad Amer Azahar kemudian menjadikan kedudukan 2-1 berpihak Penang FC pada minit ke-43 sebelum kedua-dua pasukan buntu menghasilkan sebarang gol pada separuh masa kedua sekali gus menyaksikan skuad Harimau Kumbang melakar kemenangan sulung pada kempen itu.

Perlawanan suku akhir akan berlangsung secara timbal balik dengan aksi pertama pada 14 Nov diikuti aksi kedua 18 Nov. - BERNAMA

Advertisement