Anda di sini

Kes baharu di Sabah masih berterusan meningkat

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Trend peningkatan kes baharu COVID-19 berterusan di Sabah dengan jumlah keseluruhan jangkitan harian sebanyak 579 kes direkodkan hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, daerah-daerah yang mencatatkan peningkatan agak tinggi termasuk Penampang, Tambunan, Tawau, Sipitang, Kota Belud, dan Tenom.

Katanya, daerah yang mencatatkan penurunan signifikan adalah Kota Kinabalu, Beaufort, Putatan, dan Kuala Penyu.

"Secara ringkasan, sebanyak 12 daerah mencatatkan peningkatan kes, 12 daerah mencatatkan penurunan kes, tiga daerah kekal sebagaimana catatan semalam.

"Sebanyak 22 daerah mencatatkan kes di bawah paras 40 kes dan lima daerah mencatatkan kes di atas paras 40 kes dengan Kota Kinabalu kekal sebagai daerah dengan kes terbanyak iaitu sebanyak 54 kes," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, saringan bergejala yang sinonim dengan jangkitan secara sporadik masih merekodkan kes yang tinggi termasuk 228 kes atau 39.4 peratus hari ini.

Menurutnya, kes berkenaan seringkali dikaitkan dengan kegagalan individu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Masidi berkata, jumlah kes jangkitan yang berlaku dalam tempoh 24 jam yang lepas menampakkan penambahan berbanding sebelumnya.

"Analisis data harian menunjukkan 358 kes atau 61.8 peratus adalah kes-kes yang berlaku dan didaftarkan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

"Selebihnya iaitu 37.65 peratus adalah kes yang didaftarkan dalam tempoh lima hari setelah keputusan ujian saringan diperolehi termasuk tiga kes daftar lewat melebihi lima hari," jelasnya.

Menurutnya, jumlah pesakit dalam kategori serius yang memerlukan rawatan di hospital kekal rendah dan hari ini hanya seorang pesakit dalam kategori tiga, lima pesakit dalam kategori empat dan seorang pesakit dalam kategori lima.
 

  • oleh
  • Advertisement