Anda di sini

Lelaki tak mengaku tikam isteri guna pisau

Advertisement
Tertuduh (tengah) dihantar ke Hospital Kota Sentosa selama sebulan untuk menjalani pemerhatian selama sebulan.
Tertuduh (tengah) dihantar ke Hospital Kota Sentosa selama sebulan untuk menjalani pemerhatian selama sebulan.

KUCHING: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas bekas isteri dengan menikamnya menggunakan sebilah pisau pada Oktober lalu. 

Pengakuan itu dibuat oleh Aloysius Sinclair Eden, 35, sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Sama, dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh bekerja sendiri itu didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 21 Oktober lalu, jam lebih kurang 8.30 malam di tempat letak kereta berhampiran sebuah gereja di Jalan Batu Kawa, di sini. 

Difahamkan, mangsa dan tertuduh sedang membincangkan masalah antara mereka sebelum tertuduh naik berang dan bertindak menikamnya menggunakan sebilah pisau. 

Akibat kejadian itu juga, mangsa dilaporkan mengalami beberapa kesan tikaman di belakang badan, luka di kepala dan leher.

Sebaik pengakuan direkodkan, Hakim Afidah Abdul Rahman menetapkan tertuduh dirujuk ke Pakar Psikiatri di Hospital Kota Sentosa untuk pemerhatian selama sebulan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah. 

Ia susulan tertuduh serta ahli keluarganya memaklumkan bahawa tertuduh mempunyai masalah mental. 

Mahkamah juga menetapkan kes disebut semula pada 10 Disember depan. 

Dalam pada itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam juga mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan gagal menunjukkan kad pengenalan diri kepada pihak berkuasa semasa pemeriksaan pada hari kejadian.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali kemudian menetapkan kes disebut semula pada 8 Disember depan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda sehingga RM20,000. 

Pendakwaan dikendalikan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff dan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad.

  • oleh
  • Advertisement