
KOTA KINABALU: JALS dinobatkan Juara Bintang Suara Impian 2021 selepas mengetepikan 12 finalis lain yang bersaing pada pertandingan akhir yang berlangsung di Auditorium Utama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kota Kinabalu pada Sabtu.
Memdendangkan lagu bertajuk 'Tembus', hasil sentuhan komposer Jasnie Mohd Yaakub yang juga pengubah lirik lagu ini, Jals atau nama penuhnya Abdul Jalih Ibnu Salih mewakili daerah Kudat meraih hadiah wang tunai RM3,000, sebuah Trofi BSI 2021 dan sijil selain kontrak rakaman selama 1 tahun bersama AJ Production Sdn. Bhd.
Naib Juara disandang oleh Siti Zahrani Abdul Rahim @ Nanie (Kota Kinabalu), dengan lagu 'Aku Masih Cinta', ciptaan Jasnie Mohd Yaakub dan lirik MAH, meraih hadiah wang tunai RM2,000, Trofi BSI 2021 dan sijil penyertaan.

Manakala, Norzizi Safira Iddy @ Zizi dari Kinarut, dengan lagu 'Maafkan', ciptaan Jasnie Mohd Yaakub dan lirik oleh Asmi Andi Yakin, tetap berpuas hati menduduki Tempat Ketiga dengan meraih hadiah wang tunai RM1,000, Trofi BSI 2021 dan sijil penyertaan.
Hadiah tempat Keempat dan Kelima masing masing disandang oleh Jaidijah Jaidi @ Momoy (Keningau), membawa lagu 'Terlanjur Percaya', ciptaan Jasnie Mohd Yaakub dan lirik oleh Ramli Carlo dan Nursyifah Zahira Mohd Eirwan @ Syifa (Kota Kinabalu), dengan lagu 'Terima Kasih Cintamu', ciptaan Andre Hehanusa menerima wang tunai RM700, Trofi BSI 2021 dan sijil.
Dalam pada itu Zai Zafran mewakili daerah Kota Kinabalu dengan lagu 'Pawana Pawaka', ciptaan Jasnie Mohd Yaakub dan lirik oleh Kamaruddin Hj. Hasim dinobatkan sebagai Pemenang Persembahan Terbaik Pertandingan Akhir Bintang Suara Impian 2021.
Zai Zafran meraih hadiah wang tunai RM2,000 dan sebuah Trofi BSI 2021.

Seramai lima orang juri mengadili pertandingan ini yang diketuai sendiri oleh Ketua Pegawai Operasi AJ Production Jasnie Mohd Yaakub sambil dibantu oleh Tashri Abdullah @ Cyril Aloysius dan Pangiran Allyuddin Pg. Hj Ahmad Tajuddin selaku Juri Tetap BSI 2021 di samping dua lagi juri jemputan iaitu Sharip Zainal Saykif Shake dan Pak Venche Manuhutu dari Bandung Music Management (BMM), Indonesia.
Bintang Suara Impian 2021 adalah anjuran AJ Production Sdn. Bhd dengan kerjasama JKKN, Negeri Sabah dan Bandung Music Management (BMM), disiarkan secara langsung oleh Borneonduke Motion Picture melalui Facebook Live Page Bintang Suara Impian dengan bantuan siaran oleh Co-Broadcaster Suara Titehena FM dan Siuk FM.
Turut hadir ke majlis itu ialah, Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara, Negeri Sabah Mohd Jumran Tambong, Ketua Pegawai Eksekutif AJ Production Asmi Andi Yakin, Ketua Pegawai Operasi AJ Production Jasnie Mohd. Yaakub, para juri, kalangan komposer dan para penyokong peserta yang bertanding.

Berucap di majlis itu, Asmi merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang telah berusaha bersama-sama dengan AJ Production Sdn. Bhd. dalam menjayakan Pertandingan BSI 2021 yang julung kali diadakan ini.
Katanya, sepanjang dua bulan lebih bermula daripada acara ujibakat sehinggalah ke minggu-minggu yang telah berlalu sambil menempuhi pelbagai cabaran apatah lagi dalam suasana pandemik yang sangat mencabar.
"Terima kasih juga diucapkan kepada pihak JKKN, Negeri Sabah kerana telah sudi menjalinkan kerjasama di dalam penganjuran Pertandingan Akhir BSI 2021 ini dan memberikan kita satu venue dan loksi yang begitu hebat dan bertaraf antarabangsa pada malam ini.

"Saya turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua para peserta yang telah berjaya sampai ke peringkat akhir," katanya.
Katanya, memang bukanlah mudah kerana para peserta terpaksa diuji dengan pelbagai cabaran dan genre lagu dengan terpaksa mempelajari teknologi untuk mengadakan persembahan secara 'live online' untuk memastikan para peserta akhir yang tersenarai adalah peserta yang benar-benar layak untuk sampai ke peringkat akhir.
Menurut Asmi, BSI 2021 ini merupakan satu pertandingan yang berobjektifkan untuk membangunkan dan merancakkan semula industri seni negeri Sabah dengan kolaborasi dari negara Indonesia yang diwakili oleh Bandung Manangment yang merupakan sebuah syarikat yang aktif dan disertai oleh pakar-pakar dalam banyak penganjuran dalam menaikkan Industri Seni Muzik negara Indonesia.

"Dengan kolaborasi mantap kedua belah pihak ini, AJ Production akan menjadi sebuah syarikat pertama yang akan menyediakan ruang, peluang dan mengatur-urus artis-artis tempatan negeri Sabah untuk dilabelkan setaraf dengan artis-artis bertaraf antarabangsa.
Katanya, lagu-lagu yang dipersembahkan dalam Pertandingan Akhir BSI 2021 ini menampilkan 13 buah lagu-lagu baru dan segar hasil daripada sentuhan komposer-komposer dari negeri Sabah.
"Semoga dengan penganjuran ini akan dapat mencungkil ramai bakat-bakat serta meransang kreativiti anak muda khususnya golongan seni dan menjadikan hasrat dan impian murni AJ Production untuk menjadikan negeri Sabah sebagai Hub Kesenian atau Kota Kesenian akan menjadi kenyataan," katanya.
Menurut Asmi, sokongan dari semua pihak adalah amat diharapkan kerana Sabah memang terkenal dengan pengeluar insan seni yang memiliki keunikan dan kepelbagaian.