Anda di sini

Lelaki tempatan ditahan miliki dadah jenis syabu

Advertisement
 Suspek diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut.
SUSPEK: Suspek diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut.

TAWAU: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas didapati memiliki dadah jenis syabu pada kedudukan lebih kurang satu batu nautika selatan Pelabuhan Tawau, di sini kelmarin.

Tangkapan yang dilakukan kira-kira jam 2.45 petang itu adalah susulan daripada maklumat unit risikan Zon Maritim Tawau mengenai suspek yang memiliki dadah jenis syabu.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata pasukannya menahan sebuah bot penumpang yang bergerak dari Jeti CIQ Tawau menuju ke Sungai Melayu.

“Pemeriksaan ke atas seorang lelaki tempatan berumur 27 tahun telah menemukan satu paket kecil disyaki mengandungi dadah jenis syabu di dalam seluar dalamnya dianggarkan seberat 50 gram.

“Suspek ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Tawau sebelum kes diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan medianya, di sini semalam.

Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39 a(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki memiliki dadah.

Siva berkata Zon Maritim Tawau sentiasa peka dengan sumber maklumat dari orang awam serta maklumat risikan yang dilihat mampu mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Pasukan Maritim juga akan terus mempergiat tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan serta sentiasa meningkatkan hubungan dengan komuniti di persisir pantai.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau di talian 089-752115 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement