Anda di sini

Dua lelaki warga asing ditahan lakukan aktiviti bom ikan

Advertisement
 Kedua-dua suspek ditahan disyaki terlibat dengan aktiviti bom ikan.
SUSPEK: Kedua-dua suspek ditahan disyaki terlibat dengan aktiviti bom ikan.

SEMPORNA: Dua lelaki warga asing ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas didapati melakukan aktiviti bom ikan berdekatan perairan Pulau Bohey Dulang, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, anggota PGA yang menjalankan pemantauan mengesan sebuah bot pam di lokasi berkenaan.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Superitenden Polis Mohd Yacob Murad berkata pihaknya menerima maklumat awam mengenai aktiviti menangkap ikan menggunakan bom di lokasi berkenaan.

“Sebaik menerima maklumat tersebut, pasukan task force bertindak menjalankan pemantauan dan rondaan di sekitar perairan Semporna.

“Suspek yang menyedari kehadiran pasukan keselamatan bertindak memecut laju bot mereka, namun berjaya dipintas dan diperiksa,” katanya dalam kenyataan medianya, di sini hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat dua lelaki masing-masing berumur 25 dan 30 tahun berada di dalam bot berkenaan.

“Pemeriksaan terhadap dokumentasi mereka, kedua-dua lelaki terbabit adalah warga asing dan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Anggota PGA juga turut menemukan empat botol dipercayai bom ikan, tiga alat pencetus letupan dan satu jaring berisi pelbagai jenis ikan,” katanya.

Mohd Yacob berkata kedua-dua suspek berkenaan ditahan disyaki terlibat dengan aktiviti bom ikan berdasarkan bahan letupan yang ditemukan dan keadaan perut ikan telah pecah.

“Semua barang rampasan termasuk sebuah bot pam dan dua enjin tersebut dianggarkan bernilai RM5,555.

“Kedua-dua suspek kemudiannya dibawa ke Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 akta bahan letupan 1957,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement