Anda di sini

Masidi nasihat penduduk Ranau patuh SOP

Advertisement
 Antara penerima Permata Rabiul Awal disampaikan Masidi diperhatikan Syahrin.
PERMATA: Antara penerima Permata Rabiul Awal disampaikan Masidi diperhatikan Syahrin.

RANAU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah Datuk seri Panglima Masidi Manjun menasihatkan penduduk daerah ini agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian COVID-19.

Katanya jumlah kes positif melibatkan warga Ranau yang kadangkala menunjukkan peningkatan membuktikan kurangnya 

kesedaran dalam kalangan penduduk terhadap kesan bahaya jangkitan COVID-19.

"Justeru saya menasihatkan penduduk tanpa mengira suku kaum, agama dan idologi politik supaya sentiasa mengamalkan kesedaran terhadap bahaya jangkitan virus COVID-19 yang kini sudah mengorbankan jutaan nyawa tanpa mengira usia,” tegasnya.

Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan juga meminta semua Pengerusi JPKK, Ketua Anak Negeri (KAN), wakil KAN di Ranau agar 'Turun Padang' bagi mengenalpasti penduduk di kawasan masing-masing sudah menerima dua dos lengkap vaksin untuk mengekang penularan COVID-19.

Beliau menegaskan ramai yang sudah lengkap divaksin dua dos merasakan sudah kebal dan tidak lagi perlu mematuhi SOP yang akhirnya dijangkiti dan positif COVID-19.

"Inilah antara sebab Ranau mengalami peningkatan kes positif disebabkan kurang disiplin diri yang akhirnya menjangkiti keluarga dan komuniti.

"Punca jangkitan yang sering direkodkan  sehingga dikategorikan sebagai kawasan kluster adalah menghadiri upacara pengkebumian, majlis kenduri, majlis kawin, hari jadi dan perhimpunan ramai yang mengabaikan kepentingan pematuhan SOP yang ditetapkan", katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah di Dewan Masyarakat Ranau yang dihadiri lebih 200 penduduk dengan pematuhan SOP.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin.

Terdahulu, Pegawai Daerah Ranau selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Maulidur Rasuk peringkat daerah  Rasul 2021 (1443H), Syahrin Samsir berkata kehadiran ramai membuktikan perpaduan tetap wujud dalam kalangan penduduk tanpa dibatasi agama, suku kaum dan fahaman politik.

Menurutnya sambutan tahun ini agak berbeza meskipun tanpa perarakan seperti kebiasaan, namun tidak menjadi penghalang daripada menganjurkan sambutan itu sebagai memperingati sejarah perjuangan dan ketokohan Junjungan Nabi Muhammad SAW.

Beliau memaklumkan bahawa sambutan tahun ini bertemakan 'Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti' membawa kepada norma hidup yang menekankan prinsip Dasar Manhaj Rabbani  iaitu Rahmat,  Aman, Bertuhan, Bakti, Adil dan Insani.

"Tahun ini juga kita melaksanakan pengisian baharu yang dikenali Permata Rabiul Awal iaitu satu pendekatan untuk menyantuni 10 keluarga B40 di Ranau.

“Jheains Ranau turut menyantuni keluarga yang menyambut kelahiran cahaya mata pada bulan Rabiulawal dengan kerjasama Klinik Kesihatan Ibu dan Anak daerah Ranau dengan harapan kelahiran permata berharga ini akan terus membawa sinar kebahagiaan kepada keluarga mereka", katanya.

Turut diadakan sempena majlis itu ialah Tazkirah Sirah yang disampaikan Pengarah Institut Latihan Islam (ILIM) Kampus Kundasang, Mohd. Shamsuri Ghazali, Penyampaian Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Ranau bagi tahun 2021 yang disandang oleh Mohd Som Abdul Rahman dan diserikan dengan persembahan daripada kumpulan Suara Buluh Perindu dari Kampung Sinisian Kundasang.

  • oleh
  • Advertisement