Anda di sini

PRN12: Tunggu SPR umum hari penamaan calon, mengundi 

Advertisement
Sharifah Hasidah ketika ditemui pemberita di BCCK. - Gambar oleh Roystein Emmor
Sharifah Hasidah ketika ditemui pemberita di BCCK. - Gambar oleh Roystein Emmor

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12), kata Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. 

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Wanita PBB itu berkata Proklamasi Darurat sudah dibatalkan dan pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh penamatan darurat digazetkan. 

“Sekarang kita tunggu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk umum tarikh hari penamaan calon dan tarikh hari mengundi,” katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini. 

Terdahulu, Sharifah Hasidah yang juga Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek hadir menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Hornbill Networks Consortium Sdn Bhd dan Asteel Group bagi projek rumah mampu milik di bawah Sri Pertiwi. 

Sharifah Hasidah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang menambah, mereka dalam PBB terutama wakil rakyat sentiasa turun padang membantu rakyat. 

“Kami dalam PBB sudah sedia hadapi PRN12 dan semua wakil rakyat telah melaksanakan kerja dengan baik untuk negeri dan rakyat,” katanya. 

Ditanya adakah PBB mahupun Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bermesyuarat pada Ahad ini, Sharifah Hasidah bagaimanapun berkata beliau tidak tahu. 

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong semalam berkenan menamatkan Proklamasi Darurat bagi Sarawak yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lepas. 

Penamatan Proklamasi Darurat berkenaan selaras dengan Perkara 40 dan 40 (1A) Perlembagaan Persekutuan dan berkuat kuasa semalam.  

Ia dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong mengadakan rundingan dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. 

Advertisement