Anda di sini

Filem 'Prebet Sapu' wakili Malaysia di anugerah Oscars

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Filem cereka 'Prebet Sapu' arahan Muzammer Rahman, telah dipilih oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk mewakili Malaysia ke Anugerah Akademi (Oscars) ke-94 dijangka berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 27 Mac depan.

FINAS dalam kenyataan memaklumkan filem terbitan Le Mediator Studio, Kristal Azmir Sdn Bhd dan Konda Kondi Studio itu dihantar untuk bertanding bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik.

Pemilihannya ke anugerah tersebut dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Filem FINAS terdiri daripada para penggiat industri filem tempatan bertaraf profesional dan berpengalaman.

"Ini selepas ia melalui proses penilaian terperinci berdasarkan kriteria perfileman seperti pengarahan, penceritaan, sinematografi, lakon layar, lakonan, adunan bunyi, skor muzik, penataan seni dan suntingan filem.

"Pemilihannya juga dibuat berdasarkan pematuhan kepada peraturan pertandingan yang ditetapkan oleh pihak penganjur sendiri," menurut kenyataan itu.

FINAS berkata filem 'Prebet Sapu', adalah filem arahan sulung Muzammer menampilkan Amerul Affendi dan Mei Fen Lim sebagai teraju utama.

Turut membintangi filem tersebut ialah Bront Palarae, Sharifah Amani, Nam Ron, Nadiya Nisaa, Chew Kin Wah, Jay Iswazir, Anas Ridzuan, Roslan Madun dan ramai lagi. 

FINAS berkata selain Oscars, filem yang dihasilkan dalam konsep hitam putih ini juga telah mewakili Malaysia ke pelbagai festival filem antarabangsa termasuklah Udine Far East Film Festival, Itali; Jogja-Netpac Asian Film Festival (JAFF) Indonesia; Toronto Reel Asian Film Festival, Kanada; Asian Film Festival Barcelona; Sepanyol dan Innovative International Film Festival di India.

Prebet Sapu mengisahkan kehidupan anak muda yang mencari makan di Kuala Lumpur sebagai pemandu prebet sapu. - Bernama 

Advertisement