Anda di sini

Sinergi industri dalam pemerkasaan TVET

Advertisement
YB Datuk Seri Dr Noraini Ahmad Menteri Pengajian Tinggi
YB Datuk Seri Dr Noraini Ahmad Menteri Pengajian Tinggi

PUTRAJAYA: Seramai 21 peneraju industri telah dilantik sebagai ahli Majlis Penasihat Industri Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dari sembilan bidang utama program-program yang ditawarkan di Politeknik dan Kolej Komuniti. 

Tan Sri Sufri Md Zin telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Industri JPPKK menggantikan Tan Sri Azman Haron Shah yang telah menyumbang khidmat bakti sejak Majlis Penasihat Industri JPPKK ditubuhkan pada April 2008.

Majlis Penasihat Industri JPPKK merupakan platform peneraju kepada industri dalam memberikan maklum balas dan cadangan yang berkaitan dengan penambahbaikan ekosistem TVET.

Selain itu, Majlis Penasihat Industri JPPKK juga bertindak sebagai penghubung kerjasama antara jabatan dan industri dalam melahirkan serta menyediakan tenaga kerja berdaya tahan dan berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri. 

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ketika mempengerusikan Persidangan Meja Bulat dan Mesyuarat Penasihat Industri JPPKK bagi tahun 2021 berkata, platform yang disediakan ini adalah untuk mendapatkan cadangan dan maklum balas pihak industri terhadap usaha-usaha yang dilaksanakan oleh kementerian bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan politeknik dan kolej komuniti. 

Menurut beliau, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti telah banyak menjalinkan kerjasama dengan pihak industri melalui pelbagai inisiatif seperti WBL@POLYCC, Structured Internship Programme (SIP), CEO@PolyCC, Industry On Campus, sumbangan daripada industri dalam bentuk bantuan kewangan pengajian dan lain-lain.

 Sesi penyerahan Sijil Penghargaan Ahli majlis Penasihat Industri JPPKK 2018-2020 dan penyerahan Watikah Pelantikan Majlis Penasihat Industri JPPKK 2021-2023.
PENGHARGAAN: Sesi penyerahan Sijil Penghargaan Ahli majlis Penasihat Industri JPPKK 2018-2020 dan penyerahan Watikah Pelantikan Majlis Penasihat Industri JPPKK 2021-2023.

Seiring dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memberi tumpuan kepada penjajaran semula pasaran buruh serta pendidikan TVET untuk mencapai pertumbuhan yang inklusif dan mampan serta pembangunan bakat tersedia yang akan memenuhi keperluan masa hadapan terutama dalam mendepani fasa endemik di Malaysia.

Katanya, Perdana Menteri dalam ucapan pembentangan RMK12 lepas telah menekankan tentang keperluan melahirkan modal insan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi.

Dalam hubungan ini, aliran pendidikan TVET turut menjadi tumpuan dan terus diperkasa di bawah Fokus Kedua RMK12, iaitu Memperkukuh Pemangkin Pertumbuhan.

“Ini dapat dilaksanakan melalui penambahbaikan ekosistem, peningkatan kualiti program yang ditawarkan melalui akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan badan bertaraf antarabangsa serta memperkenalkan inisiatif Penarafan Tunggal Program TVET dan platform berpusat bagi penawaran dan permintaan TVET (atau TVET Collaboration Hub, TCH).

“Usaha ini melengkapi inisiatif penubuhan Majlis TVET Negara (MTVET) dan juga Majlis Penasihat Industri di peringkat nasional.

“Suka saya kongsikan di sini juga bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif, Majlis TVET Negara (MTVET) atau JKE MTVET yang dipengerusikan secara bersama oleh saya dan Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia telah dilaksanakan pada 29 Jun 2021 yang lalu,” katanya.

 YB Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (tengah) bersama pengurusan tertinggi KPT bergambar bersama Ahli Majlis Penasihat Industri JPPKK 2021-2023.
UNTUK ALBUM: YB Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (tengah) bersama pengurusan tertinggi KPT bergambar bersama Ahli Majlis Penasihat Industri JPPKK 2021-2023.

Pada mesyuarat itu katanya, tiga kertas pertimbangan telah dibentangkan oleh wakil-wakil Kumpulan Fokus dan Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) untuk kelulusan Mesyuarat MTVET yang dijadualkan pada November ini.

Katanya, kertas-kertas tersebut ialah TCH, Naratif Baharu Kolaborasi Bersinergi Bagi Agenda Pemerkasaan TVET, Agenda Pemerkasaan TVET Dipacu Industri Melalui Penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan Industri (GIC) dan Penarafan Tunggal Program TVET.

Menurutnya, ketiga-tiga kertas itu bakal menjadi polisi yang memandu pelaksanaan sistem TVET negara sekiranya diluluskan kelak di peringkat MTVET.

“Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) yang menggalakkan penglibatan tokoh-tokoh industri berwibawa untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam memperkasakan sistem pendidikan tinggi negara, program CEO@PolyCC diteruskan dengan pelantikan 31 tokoh industri.

“Saya difahamkan terdapat empat ahli Majlis Penasihat Industri JPPKK turut dilantik sebagai CEO@PolyCC. Mereka yang dimaksudkan ialah Tan Sri Sufri Mohd Zin, Presiden Master Builders Association Malaysia (MBAM); Datuk Seri Michael Tio, Group CEO PKT Logistics Sdn Bhd; Norliza Othman, CEO Malaysian Association of Wellness Trainers (MAWT); dan Datuk Ts Dr Amirudin Abdul Wahab, CEO CyberSecurity Malaysia,” katanya.

Selain itu katanya, terdapat empat alumni Politeknik yang turut dilantik sebagai CEO@PolyCC. Ini membuktikan alumni-alumni Politeknik yang dihasilkan dapat menyumbang kembali khidmat dan bakti kepada Politeknik dan Kolej Komuniti.

“Justeru, saya menyeru agar lebih banyak pemimpin dan peneraju industri dapat turut serta dalam Program CEO@PolyCC pada masa hadapan bagi berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman berharga mereka.

“Seterusnya, di bawah inisiatif Industry on Campus (IOC), persekitaran sebenar industri dapat dibawa ke dalam suasana proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). 

“Ini bertujuan untuk merapatkan jurang atribut graduan dengan keperluan sebenar industri di samping menyuntik nilai tambah kepada pelajar yang bakal mengikuti aliran TVET,” katanya.

Katanya, antara kolej komuniti yang bakal mengaplikasikan konsep IOC ialah Sabah Digital Academy@Kolej Komuniti Papar; Food Cube@Kolej Komuniti Simpang Renggam; The Baker’s@Kolej Komuniti Pendang dan Kota Kinabalu Tourism Academy@Kolej Komuniti Kota Kinabalu.

“Saya maklum bahawa telah banyak jalinan kerjasama yang kita laksanakan dengan pihak industri. Bagi maksud itu, saya ingin merakamkan sekalung penghargaan kepada pihak industri yang telah banyak menyumbang, khususnya dari segi bantuan kewangan atau biasiswa kepada pelajar.

“Mereka adalah Yayasan Tenaga Nasional (YTN) untuk Program Dermasiswa MyBrighter Future yang memberi manfaat kepada 1,174 orang pelajar, Yayasan Sime Darby (YSD) untuk Program Dermasiswa YSD Skill Enrichment Programme yang melibatkan seramai 128 pelajar di enam Politeknik dan satu Kolej Komuniti.

“SIRIM QAS International Sdn Bhd untuk Program Dermasiswa SIRIM QAS International bagi 41 pelajar Diploma Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) dan PKT Logistics Group Sdn Bhd untuk biasiswa berjumlah RM1.2 juta kepada 29 pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sejak tahun 2012. 

“Terima kasih kepada Datuk Seri Michael Tio, Group CEO PKT Logistics Sdn Bhd,” katanya.

Beliau berharap, lebih banyak program penajaan pengajian seumpama ini dapat diketengahkan sebagai alternatif kepada pembiayaan biasiswa oleh kerajaan. 

Katanya, ia boleh diperkembangkan kepada semua ahli Majlis Penasihat Industri JPPKK seperti Yayasan TM, Petronas, institusi perbankan seperti Malayan Commercial Bank Association (MCBA) dan lain-lain lagi.

“Hakikatnya, masih terdapat banyak lagi ruang jalinan kolaborasi yang boleh kita terokai dengan pihak lain.

“Saya menyeru agar lebih ramai pihak industri bekerjasama dengan KPT terutamanya pihak JPPKK bagi pembiayaan pensijilan profesional kepada graduan. 

“Ini bagi membolehkan graduan-graduan ini nanti, apabila diserap masuk sebagai pekerja, akan memperoleh pendapatan yang lebih tinggi,” katanya.

Advertisement