Anda di sini

Sukan Borneo dijangka diadakan tahun depan 

Advertisement
Abdul Karim menyaksikan Dr Ong menyerahkan cenderamata kepada Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suadi
Abdul Karim menyaksikan Dr Ong menyerahkan cenderamata kepada Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suadi.

KUCHING: Sukan Borneo dijangka kembali pada tahun depan selepas ia tertangguh selama 12 tahun iaitu sejak kali terakhir dianjurkan pada tahun 2009.

Menteri Belia dan Sukan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata perbincangan mengenai temasya itu sedang diadakan dengan Sabah dan mereka sememangnya menantikan perkara tersebut.

“Kita akan cuba lihat bagaimana untuk mengilirkan penganjuran temasya ini antara Sabah, Sarawak, Brunei, dan Indonesia yang merupakan wilayah dalam Borneo.

“Jika kita berjaya menganjurkan Sukan Borneo pada tahun depan atau tahun berikutnya, kita (Sabah dan Sarawak) mungkin akan berkongsi mempertandingkan beberapa sukan dahulu kerana perlu mengambil kira kemudahan yang ada.

“Sekiranya tidak dapat berbuat demikian, kita akan hadkan bilangan sukan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran logo korporat jenama ‘Sport Sarawak’ di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini, malam Isnin.

Abdul Karim menambah, temasya itu bukan sahaja akan melibatkan negeri dan negara di Pulau Borneo tetapi pasukan jemputan lain dari Semenanjung Malaysia, Singapura, Filipina dan Papua New Guinea.

“Kita memang mempunyai perancangan masa depan dalam usaha membawa lebih banyak acara sukan ke Sarawak sama ada ia akan menjadi sukan serantau, kebangsaan atau antarabangsa.

“Oleh kerana sukan juga dilihat sebagai satu bentuk pelancongan dan selain itu, jika kita boleh membawa nama baik, ini sudah pasti akan memberi semangat kepada atlet tempatan untuk meningkatkan motivasi setelah melihat idola sukan mereka,” katanya.

Sukan Borneo pertama dianjurkan oleh Brunei pada tahun 1954. Sabah, Sarawak dan Brunei kemudiannya bergilir-gilir menjadi tuan rumah temasya tersebut. 

Sukan Borneo kali terakhir diadakan di Brunei pada 2009.

Terdahulu, dalam ucapannya, Abdul Karim berkata selain menganjurkan semula Sukan Borneo, negeri ini juga sedang merancang untuk menganjurkan Badminton Terbuka Malaysia tahun depan.

“Saya yakin Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) bersama Kementerian Belia dan Sukan Sarawak serta Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak (MTAC) akan bekerjasama rapat untuk memastikan atlet dari persada antarabangsa bersedia untuk berkumpul dan bertanding di sini (Sarawak),” katanya.

Hadir sama, Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan; Ketua Pegawai Eksekutif SSC Dr Ong Kong Swee dan Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suadi.

  • oleh
  • Advertisement