Anda di sini

SSC, UNIMAS meterai MoU buka peluang kepada atlet lanjut pelajaran

Advertisement
Abdul Karim menyaksikan majlis pertukaran dokumen MoU antara Ong dan Mohamad Kadim.
Abdul Karim menyaksikan majlis pertukaran dokumen MoU antara Ong dan Mohamad Kadim.

KUCHING: Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bagi menyediakan laluan pendidikan kepada atlet Program Pembangunan Sarawak mendapatkan pendidikan tinggi.

Majlis menandatangani MoU yang disaksikan Menteri Belia dan Sukan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah itu berlangsung semasa pelancaran logo korporat Sport Sarawak di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini, malam Isnin.

Mengulas lanjut pada sidang media, Abdul Karim berkata melalui kerjasama dengan universiti tempatan, ia akan memberi peluang kepada atlet melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“Ramai ibu bapa tidak menggalakkan anak mereka bersukan, mungkin kerana mereka melihat tiada masa depan untuk fokus dalam sukan.

"Kita cuba mengetepikan mitos sebegini supaya atlet yang mewakili negeri mendapat peluang untuk masuk ke universiti awam," katanya 

Abdul Karim menambah, tiada syarat tetap untuk atlet masuk ke UNIMAS kelak.

“Apabila anda menjadi atlet negeri, anda perlu menjalani begitu banyak latihan dan ia sedikit sukar kerana anda sibuk berlatih dan pada masa sama berharap mahu mendapat gred yang baik. Ia sedikit sebanyak memberi beberapa kesan.

“Jadi, sekurang-kurangnya atlet berpeluang mengikuti kursus pilihan mereka di UNIMAS sama ada kursus berkaitan sukan atau subjek akademik lain,” katanya.

Tambahnya, SSC turut bekerjasama dengan Universiti Curtin di Miri untuk menyediakan laluan pendidikan yang sama kepada atlet negeri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SSC Dr Ong Kong Swee berkata MoU dengan UNIMAS juga bertujuan untuk membawa sukan ke tahap yang lebih tinggi.

“Dengan menambah bilangan Pusat Pembangunan Sukan yang melibatkan institusi pengajian tinggi di Sarawak dalam perluasan tapak pembangunan sukan, secara tidak langsung dapat menjadikan UNIMAS sebagai pusat inovasi dan penyelidikan sukan.

“Untuk makluman, SSC juga sedang berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menubuhkan universiti sukan di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, MoU itu ditandatangani oleh Ong bagi pihak SSC manakala UNIMAS diwakili Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suadi.

  • oleh
  • Advertisement