Anda di sini

Rangka manusia ditemui dalam semak, dipercayai wanita hilang April lalu

Advertisement
Pihak polis menjalankan siasatan di lokasi.

SIBU: Penemuan tulang rangka manusia di dalam kawasan semak di tepi Jalan Batu 8 Jalan Oya pagi tadi dipercayai merungkai misteri kehilangan seorang wanita yang dilaporkan hilang pada April lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Collin Babat berkata penemuan itu mungkin ada kaitan dengan kehilangan Nooranim Tahir, 47, yang dilaporkan hilang oleh suaminya pada 25 April tahun ini.

Menurut Collin, polis juga menemui kad pengenalan, rantai leher emas, wang kertas dan sebuah motosikal jenis Modenas MR2 di lokasi kejadian.

"Kita dapati nombor plat pendaftaran motosikal yang dinaiki mangsa adalah sepadan dengan laporan polis yang diterima ketika itu," katanya ketika dihubungi tadi.

Dalam laporan hilang itu, mangsa dipercayai keluar dari rumah menaiki motosikal dari Kampung Jeriah bertujuan untuk berjumpa dengan suaminya di Jalan Kemuyang pada jam 8 malam 25 April lalu.

"Suami mangsa juga ada menasihatkan mangsa agar tidak keluar malam tetapi isterinya keluar juga dan tidak balik ke rumah di Kampung Jeriah sehingga ke hari ini," jelas beliau

Polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai laporan mati mengejut (LMM) sehingga keputusan bedah siasat diperolehi.

  • oleh
  • Advertisement