Anda di sini

Logo korporat Sport Sarawak dilancar

Advertisement
Abdul Karim bersama tetamu kehormat lain semasa majlis pelancaran logo korporat jenama Sport Sarawak di Pusat Akuatik Pandelela Rinong malam Isnin.
Abdul Karim bersama tetamu kehormat lain semasa majlis pelancaran logo korporat jenama Sport Sarawak di Pusat Akuatik Pandelela Rinong malam Isnin.

KUCHING: Pelancaran logo korporat Sport Sarawak yang dilaksanakan melalui inisiatif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) akan menjadi visi baharu untuk menjadikan Sarawak sebagai kuasa sukan negara.

Menteri Belia dan Sukan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata beliau yakin dengan logo baharu tersebut, Sarawak akan mempunyai pendekatan yang lebih teratur dalam mempromosi dan membangunkan standard sukan berkualiti daripada peringkat akar umbi sehingga ke atlet standard antarabangsa.

“Maka itu, Sport Sarawak akan menjadi pelan hala tuju bagi kejayaan masa depan negeri ini dalam sukan dan acara yang akan menyumbang kepada penglibatan yang lebih baik bersama generasi muda Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran logo korporat jenama ‘Sport Sarawak’ di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini, malam Isnin.

Sehubungan itu, Abdul Karim menyarankan SSC menjadikan ‘Pelan Induk Sukan Sarawak 2030’ sebagai realiti baharu yang boleh membuahkan hasil untuk terus melahirkan atlet olimpik yang menjadi kebanggaan Sarawak dan Malaysia.

“Saya percaya kita boleh mencapai objektif ini dan bersama dengan rakan strategik kita, Sarawak boleh menjadi kuasa sukan dengan tahap daya saing dan kemampanan yang tinggi.

“Ini seterusnya akan memberi manfaat kepada negara kita dan paling penting, generasi jaguh sukan masa depan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SSC Dr Ong Kong Swee berkata logo itu dicipta dengan objektif untuk memberi tumpuan kepada Pelan Induk Sukan Sarawak 2030 iaitu untuk melahirkan lapan peserta Olimpik mewakili negara dalam Sukan Olimpik.

Beliau berkata sebahagian daripada pelan induk itu juga adalah untuk menjadikan Sarawak destinasi pilihan penganjuran acara sukan antarabangsa.

“Bagi pelan induk itu dapat direalisasikan, kita perlu mempunyai kemudahan sukan bertaraf dunia dan kita akan memastikan kita mempunyai kemudahan untuk melatih atlet bertaraf dunia,” katanya.

Selain daripada 64 kemudahan sukan di seluruh negeri yang diuruskan oleh SSC, Ong berkata SSC sedang mengusahakan projek baharu seperti projek Stadium Pintar Sarawak dengan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).

“Stadium pintar masa hadapan akan dipenuhi dengan sejumlah besar sensor, kamera dan tanda digital yang bersambung ke rangkaian berwayar dan tanpa wayar. 

“Sensor akan menyediakan maklumat terkini mengenai tempat letak kereta kosong, barisan menunggu dan data stadium lain,” katanya.

Beliau juga berkata semua acara sukan akan disatukan di bawah logo Sport Sarawak dan persatuan sukan negeri boleh memanfaatkan logo tersebut untuk memasarkan serta mempromosikan sukan dan aktiviti mereka.

Pada majlis itu, Abdul Karim turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara SSC dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

MoU itu akan menyediakan laluan pendidikan kepada atlet Program Pembangunan Sarawak bagi melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi dan menambah bilangan Pusat Pembangunan Sukan yang melibatkan institusi pengajian tinggi di Sarawak dalam perluasan tapak pembangunan sukan.  

Ia juga akan menjadikan UNIMAS sebagai pusat inovasi dan penyelidikan sukan.

Hadir sama, Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan dan Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suadi.

  • oleh
  • Advertisement