Anda di sini

Tudung Nur Rahmah ke Dubai, fesyen Etnik Borneo Kontemporari ke London

Advertisement
 Isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Panglima Julia Salag (dua kiri) diberi penerangan oleh Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan (kanan) mengenai produk keluaran syarikatnya sempena majlis pelancaran itu.
NUR RAHMAH: Isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Panglima Julia Salag (dua kiri) diberi penerangan oleh Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan (kanan) mengenai produk keluaran syarikatnya sempena majlis pelancaran itu.

KOTA KINABALU: Isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Panglima Julia Salag menyempurnakan pelancaran tudung Nur Rahmah (Cahaya Kasih) keluaran syarikat milik usahawan wanita terkenal tempatan, Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan di sini Sabtu lepas.

Julia juga adalah Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil  Rakyat  Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sempena pelancaran penuh warna-warni itu, turut dipromosikan pelbagai produk kecantikan dan kewanitaan keluaran syarikat berkenaan.

Hadir sama memeriahkan majlis itu ialah artis popular tahun 1970an dan 1980an Datuk Khatijah Ibrahim.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Rahmahjan berkata beliau diundang menyertai dua acara fesyen terbesar di Dubai pada Disember ini dan di kota London pada Februari depan.

Beliau berkata syarikatnya dipilih untuk menyertai Expo Dunia 2021 di Dubai pada 19 Disember hingga 25 Disember, manakala di London pula untuk peragaan fesyen bertemakan Etnik Borneo Kontemporari.

"Untuk menembusi pasaran dunia seperti ini, ia merupakan loncatan besar bagi syarikat kecil, namun pasti menjadi kebanggaan kerana ia sebenarnya pengiktirafan tinggi terhadap produk tempatan kita," katanya.

Menurutnya, sempena Expo Dunia di Dubai itu, beliau bercadang membawa koleksi tudung eksklusif sebanyak 2,600 helai dan juga koleksi baju Kebaya.

Rahmahjan juga berkata syarikatnya kini berkolaborasi dengan sebuah syarikat di Korea bagi menghasilkan beberapa produk lagi dan pada masa sama menjalin usahasama dengan sebuah syarikat di Timur Tengah, bagi memasarkannya ke  ke negara rantau berkenaan.
 

Advertisement