Anda di sini

Bintang Suara Impian 2021 bakal melahirkan johan pertandingan

Advertisement
 Jasnie (duduk kiri) dan Asmi (duduk kanan) bersama Alliyuddin (berdiri kanan),  Ohm Petrus dari Suara Titehena FM (berdiri, dua kanan), Ahmad Angkie sebagai host (berdiri tengah), Pengarah Teknikal Mazlee Mahali (berdiri, dua kiri) dan Din Hanan (berdiri kiri) dari Siuk FM merakamkan gambar kenangan.
KENANGAN: Jasnie (duduk kiri) dan Asmi (duduk kanan) bersama Alliyuddin (berdiri kanan), Ohm Petrus dari Suara Titehena FM (berdiri, dua kanan), Ahmad Angkie sebagai host (berdiri tengah), Pengarah Teknikal Mazlee Mahali (berdiri, dua kiri) dan Din Hanan (berdiri kiri) dari Siuk FM merakamkan gambar kenangan.

KOTA KINABALU: Pertandingan Akhir Bintang Suara Impian (BSI) 2021 akan berlangsung secara fizikal di Auditorium Utama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kota Kinabalu pada 6 November 2021 menyaksikan kehebatan 13 finalis yang bakal berentap bermula jam 8 malam.

Mereka terdiri, Abdul Jalih Ibnu Salih @ Jals  finalis dari daerah Kudat,  Charles Anthony Prudente @ Chucky (Sandakan), Dayang Irsyadhaniah Iraril (Papar),  Jaidijah Jaidi @ Momoy (Keningau),  Karen Ak Jimbun Pasang (Tawau) dan Mohd Afiq Ikram Saad @ Afiq (Papar).

Selain itu, Norzizi Safira Iddy @ Zizi dari Kinarut, Nic O’niel Ratonel @ Nic (Keningau), Nursyifah Zahira Mohd Eirwan @ Syifa (Kota Kinabalu), Rasyidin Tarmizi @ Mizi (Kota Kinabalu), Richard R Cablores @ Rich (Keningau), Siti Zahrani Abdul Rahim @ Nanie (Kota Kinabalu) dan Zai Zafran  dari Kota Kinabalu.

Pertandingan julung kalinya yang dianjurkan oleh AJ Production Sdn Bhd dengan kerjasama Bandung Music Management (BMM) ini akan diadili oleh lima orang juri berpengalaman luas yang diketuai sendiri oleh Ketua Pegawai Operasi AJ Production Jasnie Mohd Yaakub.

Beliau akan dibantu oleh Tashri Abdullah @ Cyril Aloysius dan Pangiran Allyuddin Pg. Hj Ahmad Tajuddin selaku Juri Tetap BSI 2021 di samping dua lagi juri jemputan iaitu Sharip Zainal Saykif Shake dan Pak Venche Manuhutu dari  Bandung Music Management (BMM), Indonesia.

Bercakap kepada Media berhubung saingan akhir itu Jasnie Mohd Yaakub berkata, pemenang Juara Pertandingan Akhir Bintang Suara Impian akan menerima sebuah Trofi BSI 2021, Wang Tunai RM3,000, Sijil Penyertaan dan Kontrak Rakaman selama 1 tahun di bawah naungan AJ Production.

Naib Johan, Trofi BSI 2021, Wang Tunai RM2,000 dan Sijil Penyertaan, manakala Tempat Ketiga Trofi BSI 2021, Wang Tunai RM1,000 dan Sijil Penyertaan. 

"Turut diberikan ialah Persembahan Terbaik yang bakal meraih sebuah Trofi Iringan dan Hadiah Wang Tunai RM2,000," katanya.

 Antara peserta akhir BSI 2021
PESERTA AKHIR: Antara peserta akhir BSI 2021

Menurut Jasnie, kesemua peserta mempunyai kelebihan masing-masing, kreatif dan mempunyai kualiti suara serta nyanyian yang baik. 

Bagaimanapun, hanya yang baik di antara yang terbaik akan menjadi juaranya nanti.

"Tetapi semua peserta akhir ini tidak perlu bimbang kerana bakat-bakat mereka akan dikembangkan lagi dan tidak hanya terhenti di sini sahaja.

"Kita mempunyai perancangan untuk para peserta agar mampu mengembangkan potensi mereka. Kita sudah merancang bahawa mereka akan diserapkan ke dalam program seperti telenova, drama dan yang berkaitan," katanya.

Beliau berkata, buat julung kalinya kerjasama ini akan membolehkan bakat penyanyi akan dipasarkan terus ke peringkat antarabangsa terutama ke Indonesia. 

Katanya, semua finalis ini adalah bakat baharu dalam industri muzik, mereka tidak pernah merakamkan single sebelum ini.

"Kesemua pemilihan lagu untuk finalis juga adalah hak cipta AJ Production kerana semua lagu baharu itu adalah cipataan saya sendiri," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AJ Production Asmi Andi Yakin berkata, proses pemilihan  telah dilakukan selama sembilan minggu secara langsung menerusi laman facebook.

 

“Bintang Suara Impian merupakan satu platform pencarian pesona bintang dari 'Negeri Di Bawah Bayu' untuk menjadi artis rakaman AJ Productions dan mengetengahkan bakat seni mereka ke peringkat antarabangsa terutamanya ke pasaran Indonesia," katanya.

Katanya, para peserta pada permulaannya adalah seramai 100 orang, selepas beberapa minggu, hanya seramai 13 orang berjaya memasuki peringkat seterusnya.

Katanya, terdapat dua peserta diserap semula iaitu peserta dari Tawau dan Kudat. Pihak juri memutuskan perkara itu memandangkan bakat mereka boleh dikembangkan lagi.

"Sepanjang sembilan minggu ini, kita dapati para finalis hanya sekadar boleh menyanyi. Tetapi selepas menyertai pertandingan ini dengan kita memberikan pelbagai genre.

"Didapati terdapat peningkatan dari sudut nyanyian, persembahan. Sebab kita melakukan pemilihan secara atas talian, mereka kena menggunakan audio yang bagus serta interface berkaitan.

"Tetapi selepas itu mereka pandai menggunakan pelbagai alat seperti layar hijau dan sebagainya. Oleh itu, nampaklah perubahan sepanjang pertandingan diadakan," katanya.

Dalam pada itu Jasnie menjelaskan BMM bukan saja terlibat dalam penjurian, mereka juga adalah rakan kolaborasi dalam usahasama perusahaan dan merupakan salah satu agensi besar pengurusan artis di Indonesia.

Katanya, BMM diterajui Pak Venche Manuhutu, dibantu dengan Pak Sol Sukmajati dan David Manuhutu sebagai Pengarah Muzik serta beberapa yang lainnya adalah juga rakan niaga kepada AJ Production Sdn Bhd.

 Pg. Allyuddin selaku Juri Tetap yang sangat berpengalaman.
BERPENGALAMAN: Pg. Allyuddin selaku Juri Tetap yang sangat berpengalaman.

"Melalui objektif dan ada halatuju pertandingan yang jelas seperti ini, saya yakin Bintang Suara Impian akan melahirkan Sebutir Bintang dan AJ Productions Sdn Bhd dapat memainkan peranan dalam membantu memartabatkan dan memperkasa industri seni negeri Sabah," katanya.

Pertandingan Akhir Bintang Suara Impian 2021 yang berlangsung di Auditoriun Utama JKKN ini juga akan disiarkan secara langsung oleh Borneonduke Motion Picture melalui Facebook Live Page Bintang Suara Impian dengan bantuan siaran oleh Co-Broadcaster Suara Titehena FM dan Siuk FM.
 

  • oleh
  • Advertisement