Anda di sini

Penerbangan ke Sarawak ditingkatkan kepada 223 kali seminggu mulai Isnin ini

Advertisement
Lee Kim Shin
Lee Kim Shin

KUCHING: Penerbangan ke Sarawak dipertingkatkan daripada 89 penerbangan kepada 223 penerbangan seminggu bermula Isnin ini, 1 November. 

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin menerusi kenyataan berkata setakat ini semua penerbangan telah dimaklumkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengenai kekerapan baharu penerbangan yang diluluskan ini. 

Dengan kelulusan ini, katanya semua penerbangan Malaysia Airlines Berhad, AirAsia Berhad, Malindo Airways Sdn Bhd, Scoot Tigerair Pte Ltd dan MASwings Sdn Bhd perlu mengesahkan jadual penerbangan mereka kepada MAVCOM. 

“Dengan peningkatan ini, penerbangan dari luar Sarawak ke Kuching akan meningkat daripada 44 kali seminggu kepada 114 kali seminggu manakala penerbangan ke Miri meningkat daripada 19 kali seminggu kepada 40 kali seminggu. 

“Sibu pula, penerbangan meningkat daripada 8 kali seminggu kepada 31 kali seminggu, Bintulu (6 kali seminggu kepada 24 kali seminggu), Limbang dan Lawas (lima kali seminggu kepada 7 kali seminggu) manakala Mulu kekal 7 kali seminggu,” katanya. 

Tambah Lee, sekarang terpulang kepada syarikat penerbangan untuk memulakan pengoperasian kekerapan baharu penerbangan yang dijadual 1 November ini. 

Jelasnya, butiran terperinci akan dimuatnaik di laman web Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) di [email protected] sebaik maklumat diterima dari semua syarikat penerbangan menerusi MAVCOM. 

MOTS katanya percaya dengan peningkatan kekerapan penerbangan ini akan mengurangkan harga tambang penerbangan. 

“Kami dimaklumkan oleh syarikat penerbangan bagi mereka yang mahu mendapatkan tambang murah, mereka perlu merancang perjalanan mereka serta menempah penerbangan mereka lebih awal. 

“Selain itu, kamu juga mahu mengingatkan semua penumpang dan pelancong yang datang ke Sarawak untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS),” katanya. 

Dalam pada itu JPBNS pada 1 Oktober lepas telah meluluskan kekerapan penerbangan masuk ke Sarawak daripada 22 kepada 89 penerbangan seminggu. 

Meskipun sudah ditingkatkan, MOTS masih menerima aduan daripada orang awam memohon kerajaan untuk meningkatkan lagi kekerapan penerbangan ke Sarawak. 

MOTS telah mengkaji maklum balas daripada orang ramai dan mencadangkan kepada JPBNS, Kementerian Pengangkutan Malaysia dan MAVCOM pada 25 Oktober untuk meningkatkan kekerapan penerbangan ini daripada 89 kepada 223 seminggu. 
 

Advertisement