Anda di sini

Warga emas dipenjara 10 tahun miliki dadah, isteri bebas

Advertisement
 Pasangan warga emas berkenaan diiring keluar selepas prosiding mahkamah.
PADAH: Pasangan warga emas berkenaan diiring keluar selepas prosiding mahkamah.

TAWAU: Mahkamah Sesyen, di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang warga emas manakala isterinya dibebaskan tanpa dilepaskan atas kesalahan memiliki 30.75 gram dadah jenis syabu, tahun lalu.

Tertuduh, Hashim Sahipa, 80, dijatuhkan hukuman berkenaan dari tarikh direman pada 18 Disember 2020, selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Berdasarkan pertuduhan pindaan, tertuduh bersama isterinya Roaina Ali, 70, memiliki dadah berkenaan di sebuah rumah atas air tidak bernombor di Kampung Batu Semporna kira-kira jam 4 petang pada 7 Disember 2020.

Pasangan warga asing itu didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara seumur hidup atau suatu tempoh tidak kurang lima tahun dan juga dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan.

Bagaimanapun, hanya Hashim mengaku memiliki dadah berkenaan, manakala Roaina tidak mengaku bersalah.

Hashim dalam pengakuannya memaklumkan kepada Mahkamah bahawa dadah itu miliknya dan tidak ada kaitan dengan Roaina.

Terdahulu, pasangan ini didakwa mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan selepas pasukan keselamatan menemui 57.04 gram hablur putih dipercayai methamphetamine dalam serbuan di lokasi kejadian.

Namun, mahkamah menukar pertuduhan mengikut Seksyen 39A(2) selepas laporan kimia mendapati berat sebenar methamphetamine yang dirampas adalah 30.75 gram.

Awang Kerisnada dalam penghakimannya berkata, tanpa mengira usia tua atau muda, perbuatan tertuduh memiliki dan mengedar dadah adalah salah.

Mahkamah tidak boleh menjatuhkan hukuman paling ringan penjara lima tahun hanya kerana usia tua tertuduh, sebaliknya ia perlu menjadi pengajaran kepada semua pihak termasuk lelaki berkenaan.

Bagaimanapun, mahkamah mempertimbangkan tidak mengenakan hukuman sebatan mengambil kira faktor usia dan kesihatan tertuduh.

Hashim dan Roaina akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk pengusiran pulang ke negara asal.

  • oleh
  • Advertisement