Anda di sini

Potensi besar industri acara perniagaan perlu dimanfaat pemain industri 

Advertisement
Nancy berucap pada MIM Sarawak sempena pelancaran Kuching- Hybrid City Alliance di Kuching. -Gambar Penerangan
Nancy berucap pada MIM Sarawak sempena pelancaran Kuching- Hybrid City Alliance di Kuching. -Gambar Penerangan

KUCHING: Malaysia harus memanfaatkan segmen pasaran industri acara perniagaan yang menguntungkan ini secara strategik, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri. 

Berucap pada program 'Meet in Malaysia @Sarawak' atau MIM Sarawak sempena pelancaran Kuching- Hybrid City Alliance pada Jumaat, Nancy berkata kajian menunjukkan industri acara perniagaan melibatkan lebih 1.5 bilion delegasi dari 180 buah negara,  menjana perbelanjaan langsung delegasi RM4.45 trilion. 

Industri ini katanya juga menjana RM2,586 juta kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) langsung dan mewujudkan 10.3 juta pekerjaan langsung. 

"Ini menguatkan kesan ketara industri acara perniagaan dan Malaysia harus memanfaatkan segmen pasaran yang menguntungkan ini secara strategik. 

"Walaupun angka besar disumbangkan industri ini, kita tidak boleh terlalu selesa. Jangan buat kesilapan, saingan sangat sukar lebih-lebih lagi destinasi teratas lain tahu apa yang diperlukan untuk memenangi bidaan," katanya. 

Atas sebab itu kata Nancy, beliau gembira melihat Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) berkerjasama erat dengan Business Events Sarawak sebagai pasukan Malaysia dalam membida bagi bidaan produktif. 

Malah katanya beliau diberitahu terdapat beberapa bidaan dalam proses untuk Sarawak dan beliau berharap Malaysia akan menang semua bidaan ini. 

Katanya lagi tahun ini sahaja meskipun berdepan pandemik, Malaysia menerusi MyCEB dan rakannya telah memenangi 15 persidangan antarabangsa untuk diadakan di negara dari 2022 hingga 2030. 

Persidangan ini katanya dijangka melibatkan 16,000 delegasi antarabangsa dengan anggaran sumbangan RM140 juta kepada ekonomi negara. 

Bercakap mengenai MIM Sarawak ia menurut Nancy  merupakan anjuran bersama MyCEB dan Business Events Sarawak. 

Kempen MIM MyCEB ini menyediakan sokongan kewangan penting di bawah tiga pakej Let's Meet Tomorrow, Let's Meet Locally dan Let's Meet Now. 

Sehubungan itu beliau berharap pemain industri Sarawak akan merebut peluang ini yang pasti akan membantu mereka memulakan perniagaan. 
 

  • oleh
  • Advertisement