Anda di sini

Pakatan Harapan akan sokong pindaan Perlembagaan berkaitan MA63

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) akan memberikan sokongan kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sekiranya usul pindaan itu dibentangkan kerajaan di Parlimen minggu hadapan.

Majlis Presiden PH menerusi kenyataan pada Jumaat berkata PH akan memberi sokongan kepada pindaan Perlembagaan itu untuk memperkukuhkan hak rakyat Sabah dan Sarawak.  

"Kami berharap pindaan ini akan mempergiat usaha melaksanakan segala perkara yang termaktub di dalam MA63 demi menegakkan keadilan buat Sabah dan Sarawak," katanya dalam satu kenyataan itu.

Pada 19 Oktober yang lepas, Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) dilaporkan bersetuju dengan cadangan pindaan membabitkan Perkara 1(2) serta Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan yang akan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata MKMA63 telah bersetuju dengan cadangan pindaan yang bakal dibentang pada persidangan Parlimen akan datang. - BERNAMA
 

Advertisement