Anda di sini

Maritim Malaysia tahan bot nelayan Vietnam jarah hasil laut negara

Advertisement
 Hasil tangkapan gamat yang dirampas di dalam bot nelayan Vietnam.
RAMPAS: Hasil tangkapan gamat yang dirampas di dalam bot nelayan Vietnam.
 Bot nelayan Vietnam yang ditahan selepas menceroboh perairan negara.
CEROBOH: Bot nelayan Vietnam yang ditahan selepas menceroboh perairan negara.
 Besi yang direka khas untuk menjarah gamat dan tidak dibenarkan digunakan di perairan negara.
HARAM: Besi yang direka khas untuk menjarah gamat dan tidak dibenarkan digunakan di perairan negara.

KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot nelayan Vietnam dalam Ops Pluto Timur di perairan Kudat di sini semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat Komander Maritim Boon Chin Chau berkata operasi kira-kira jam 8 pagi itu dijalankan selepas pasukannya mengesan pergerakan bot nelayan yang mencurigakan semasa melakukan rondaan di sekitar perairan terbabit.

“Berdasarkan penelitian awal melalui struktur fizikal, anggota bot mengesyaki bot terbabit adalah bot nelayan asing Vietnam sebelum mengarahkan bot berhenti untuk melakukan pemintasan bagi pemeriksaan.

“Bot yang ditahan pada jarak sekitar tujuh batu nautika timur laut dari Pulau Tigabu Pitas itu tidak mempunyai sebarang nombor pendaftaran.  

“Hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati bot berkrnaan kendalikan tujuh kru termasuk tekong warga Vietnam yang berumur dalam lingkungan 35 hingga 50 tahun,” katanya.

Menurutnya siasatan lanjut mendapati bot terbabit menggunakan sebuah peralatan yang direka khas untuk menjarah gamat dan diperbuat daripada besi yang sangat berat.

“Jika dilihat melalui struktur besi terbabit , ianya mampu memecahkan batu-batu karang didasar laut ketika ditunda.

“Besi ini juga adalah peralatan yang tidak dibenarkan serta tidak digunakan oleh nelayan tempatan di negara ini,” katanya.

Boon berkata kesemua kru bersama 3000 liter bekalan minyak diesel, hasil gamat serta bahan menangguk gamat yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM500,000 dirampas dan ditahan sebelum dibawa ke Jeti Maritim Kudat untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan serta Akta Imigresen 1959/63 kerana suspek tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

“Jika sabit kesalahan, tekong boleh dikenakan denda sebanyak RM6 juta manakala kru atau awak-awak sebanyak RM600 ribu setiap seorang serta bot yang disita boleh dilucut hak,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata penduduk di sekitar perairan negara boleh melaporkan sebarang salah laku jenayah dan kecemasan yang berlaku dilaut kepada Maritim Malaysia ditalian 088-61858.

Tambahnya laporan juga boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Kudat dan talian MERS 999 yang beroperasi selama 24 jam.

  • oleh
  • Advertisement