Anda di sini

Sarawak United bakal berhadapan hukuman berat

Advertisement
PETALING JAYA: Naib juara Liga Premier Sarawak United FC kini berada dalam situasi 'bahaya' apabila bakal berdepan hukuman berat daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) susulan isu tunggakan gaji membabitkan beberapa pemain utama.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam berkata terdapat tiga bentuk hukuman yang boleh dikenakan terhadap pasukan bimbingan E. Elavarasan itu iaitu larangan terlibat dalam urusan perpindahan pemain, penyingkiran ke Liga Premier dan berdepan penarikan semula lesen kelab.

Bagaimanapun, Stuart berkata sebarang penukaran pasukan menggantikan Sarawak United itu terserah kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk membuat keputusan selanjutnya.

“Sarawak United mempunyai sehingga 15 Dis ini untuk menjelaskan sebarang tunggakan gaji dan pada masa sama MFL akan membuat penyiasatan berhubung isu berkenaan,” katanya pada sidang media di sini pada Khamis.

Sarawak United sebelum ini ‘dinaikkan pangkat’ beraksi dalam saingan Liga Super 2022 susulan kejayaan mereka meraih tempat kedua pada Liga Premier 2021.

Dalam pada itu, Pengerusi First Instance Body Pelesenan Kelab MFL Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif memaklumkan 12 pasukan yang bersaing di Liga Super telah lulus dan diberikan lesen kelab kebangsaan bagi membolehkan mereka beraksi di Liga Super 2022 sekiranya memenuhi syarat.

Pasukan yang diberikan lesen kebangsaan adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman (KDA) FC, UiTM FC, Melaka United FC, Perak FC, Sri Pahang FC, Selangor FC, Terengganu FC, Kuala Lumpur (KL) City FC, Sabah FC, Penang FC dan Petaling Jaya (PJ) City FC.

Bagaimanapun, beliau berkata Melaka diberikan lesen kebangsaan dengan sekatan iaitu denda RM15,000 dan diberikan amaran kerana melanggar tarikh akhir penyelesaian pembayaran tertunggak mereka membabitkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 30 Sept lepas.

Katanya, pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan itu perlu menjelaskan pembayaran denda pada 20 Nov selain dikehendaki menghantar bukti pembayaran kepada Pelesenan Kelab MFL dan jika tidak, perkara tersebut akan dikemukakan kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

Sheikh Mohd Nasir berkata 10 daripada daripada 12 pasukan iaitu JDT, Kedah, UiTM FC, Perak, Selangor, Terengganu, KL City, Sabah, Penang dan PJ City FC diberikan lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi membolehkan kelab-kelab ini bertanding dalam Pertandingan Kelab AFC 2022 sekiranya layak.

Namun, nasib berbeza dialami Pahang apabila mereka tidak memohon lesen AFC manakala Melaka pula gagal mendapatkan lesen berkenaan mereka kerana gagal memenuhi syarat ditetapkan untuk pelesenan AFC.

Sementara itu, Sheikh Mohd Nasir memberitahu lima pasukan Liga Premier 2021 yang telah lulus dan diberikan lesen kelab kebangsaan adalah Kelantan FC, Kuching City FC, Kelantan United FC, Negeri Sembilan FC dan PDRM FC.

Beliau juga menegaskan lesen AFC dan kebangsaan yang diberikan hanya untuk satu musim iaitu musim depan dan sepanjang musim, namun lesen mereka boleh ditarik balik sekiranya terdapat kelab melanggar artikel dalam MFL Club Licensing Regulations Edisi 2021 atau tidak memenuhi mana-mana syarat untuk pengeluaran lesen.

“Sebagai langkah proaktif, MFL menuntut setiap pasukan menyerahkan surat pernyataan berkanun membuktikan mereka bebas daripada sebarang pembayaran/kelewatan membayar gaji, KWSP, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Pertubuhan Keselamatan Sosial kepada MFL pada 15 Dis, menjelang Liga Super dan Liga Premier 2022.

“Sekiranya terbukti kelab-kelab telah memperoleh lesen untuk 2022 dan mempunyai tunggakan gaji belum dapat diselesaikan dengan pemain dan pegawai pada akhir musim ini iaitu pada November ini dan pada pengisytiharan berkanun mereka, maka larangan perpindahan pemain segera akan dikenakan kepada kelab masing-masing,” katanya.- BERNAMA

Advertisement