Anda di sini

RM86.4 juta disalurkan kepada 13,886 PKS, MTC untuk langganan perkhidmatan digital

Advertisement
Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM86.4 juta telah disalurkan kepada 13,886 perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat di peringkat pertengahan (MTC) dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) setakat 8 Oktober, 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (gambar) berkata kerajaan juga telah memperuntukkan RM700 juta bagi membantu dan menggalakkan PKS dan MTC ke arah pendigitalan operasi dan saluran perdagangan.

Beliau berkata selain itu, RM221.32 juta telah disalurkan di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank bagi memberi manfaat kepada 17,734 PKS Mikro Pertanian setakat 8 Oktober, 2021.

“Pembiayaan bernilai RM400 juta telah diperuntukkan bagi golongan petani, peladang dan nelayan. Di bawah skim ini, RM350 juta merupakan peruntukkan di bawah Skim Mikrokredit Agrobank,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-73 yang dikeluarkan pada Jumaat.

Beliau berkata jaminan makanan amat dititikberatkan dalam PENJANA dan juga Belanjawan 2021.

Tengku Zafrul berkata bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan pula, seramai 137,659 pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program ini setakat 1 Okt, 2021.

Beliau berkata antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuk pembuatan serta perdagangan borong dan runcit.

Layari www.perkeso.gov.my/186- penjana/803-program-insentifpengambilan-pekerja-dan-bantuanlatihan.html. untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Selain itu, di bawah Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA pula, beliau berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM600 juta bagi PKS dan PKS Mikro yang masih terkesan dengan penularan COVID-19.

“Setakat 8 Oktober, terdapat 701 permohonan bagi pembiayaan ini dan daripada jumlah ini sebanyak 340 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM67.5 juta,” katanya. - BERNAMA
 

Advertisement