Anda di sini

Kenal pasti produk seni, kraf untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa

Advertisement
Annuar (dua kanan) bersama Pengarah Tanoti House, Jacqueline Fong (kanan) meneliti benang tenunan yang dihasilkan di Tanoti House semasa lawatan beliau.
Annuar (dua kanan) bersama Pengarah Tanoti House, Jacqueline Fong (kanan) meneliti benang tenunan yang dihasilkan di Tanoti House semasa lawatan beliau.

KUCHING: Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) diminta mengenal pasti dan membantu pengeluar produk seni dan kraf tempatan untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia termasuk hasil kraf dari Sarawak yang mempunyai keaslian dan keunikan tersendiri.

“CENDANA ditubuhkan khusus untuk membangunkan produk tempatan yang dipasarkan bukan cara biasa tetapi aspek digital ekonomi, sekali gus menembus pasaran antarabangsa.

“Hari ini saya menyaksikan bagaimana kayanya khazanah kraf yang ada di kalangan komuniti dan pelbagai kelompok masyarakat Sarawak.

“Sebenarnya produk-produk sebegini adalah terlalu berharga dan harus diperluaskan menerusi CENDANA,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Tanoti House di sini, hari ini.

Tambah Annuar, Sarawak mempunyai pelbagai hasil kraf yang unik khasnya dari komuniti luar bandar.

Beliau berkata ia harus dibawa atau dipromosikan menerusi kaedah yang tertentu seperti menerusi CENDANA.

Katanya memberi contoh, produk komuniti Penan yang unik dan berkualiti tetapi hanya digunakan kumpulan berkenaan sahaja.

“Jika ia dibungkus, diperkenalkan serta diproses ia mampu menjadi produk 'collector' yang bertaraf antarabangsa.

“Saya berharap CENDANA dapat melihat semua ini dan memberi sentuhan baharu kepada produk kraf agar menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau memberitahu CENDANA boleh memberi bantuan secara langsung menerusi pelbagai geran.

Selain itu ujarnya CENDANA juga membantu dan membimbing pengeluar produk yang kemudian memasarkan produk ke pasaran bersifat antarabangsa.

Mengenai Tanoti House, iaitu pusat pembuatan fabrik, beliau berkata pengusaha berkenaan mempunyai perancangan jauh ke hadapan.

Mereka katanya menggabungkan pengusaha produk yang kemudian dimajukan menerusi aspek pemasaran.

CENDANA dilancarkan pada 6 September 2017 dan disokong oleh Kerajaan Malaysia melalui MyCreative Ventures Sdn Bhd (syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan) dan melapor kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia. 
 

  • oleh
  • Advertisement