Anda di sini

Pasukan petugas KKR, KKM ditubuh siapkan projek fasiliti kesihatan 'sakit'

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Satu pasukan petugas bersama antara Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Kesihatan (KKM) ditubuhkan bagi mencari pendekatan menyiapkan projek fasiliti kesihatan yang lewat serta ‘sakit’ di seluruh negara.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata walaupun bilangan projek lewat dan 'sakit' di bawah KKM tidak banyak, kementerian tetap memandang serius memandangkan ia adalah kemudahan penting untuk rakyat. 

"KSU (Ketua Setiausaha) KKR dan KKM akan duduk berbincang bagi mencari pendekatan, apa masalah projek-projek ini lewat atau tidak dapat disiapkan. 

"Ia juga bagi memastikan pembangunan sektor kesihatan dapat dirancang dan dikendalikan dengan lebih baik," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian Surat Setuju Terima Tender (SST) di kementeriannya di sini hari ini. 

Turut hadir Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. 

Khairy sebagai wakil dari KKM menerima SST bagi projek pembinaan Pusat Kawalan Penyakit Negara yang juga antara lima SST diserahkan KKR kepada kontraktor terlibat. 

Empat lagi projek ialah projek menaik taraf Jalan Muar-Tangkak-Segamat di Johor; projek membina jalan penghubung antara Kampung Guntur ke Langkap, Kuala Pilah, Negeri Sembilan; projek pembinaan tapak simulasi bencana bagi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Markas SMART, Pulau Meranti, Selangor; dan projek pembinaan sekolah baharu 24 bilik darjah dan lain-lain kemudahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Gong Nangka, Marang, Terengganu. 

Dalam pada itu, Fadillah berkata setakat ini sebanyak 81 SST dikeluarkan kepada kontraktor terpilih dalam proses perolehan kerajaan. 

Jumlah itu adalah sebahagian daripada sasaran KKR iaitu mengeluarkan 120 SST hingga akhir tahun ini atau dalam Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) 100 hari kementerian berkenaan. 

Fadillah juga mengingatkan kontraktor terlibat supaya komited dalam menyiapkan projek mengikut masa, bajet dan kualiti ditetapkan. 

"Sering kali saya ingatkan setiap kali saya serahkan SST, jika lewat, mereka juga akan rugi, ia juga penting untuk manfaat rakyat. Maka suka saya ingatkan, siapkan (projek), jika tak siap, siaplah kau,” katanya dalam nada berseloroh. - Bernama 

Advertisement