Anda di sini

MAFI giat laksana naik taraf pasar tamu di seluruh negara

Advertisement
 Ronald (kiri) menyampaikan bantuan MAFI Prihatin kepada wakil penduduk kampung di kawasan pulau di Beluran.
PRIHATIN: Ronald (kiri) menyampaikan bantuan MAFI Prihatin kepada wakil penduduk kampung di kawasan pulau di Beluran.

BELURAN: Seiring dengan matlamat untuk mentransformasikan operasi pasar tamu tanpa menghilangkan identiti keunikannya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menggiatkan pelaksanaan projek menaik taraf pasar tamu di seluruh negara.

MAFI melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) memperuntukkan RM9.5 juta untuk membangunkan program Pengukuhan Rangkaian Peruncitan Pasar Tamu di Sabah dan Sarawak bermula 2016. 

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, sehingga September tahun ini, sebanyak sembilan lokasi pasar tamu dinaik taraf termasuk empat lokasi pasar tamu yang sudah beroperasi, manakala lima lagi lokasi masih di peringkat pembinaan termasuk pasar tamu Beluran.

Katanya, pembangunan pasar tamu adalah sebahagian daripada fungsi FAMA dalam memperkasakan pemasaran hasil pertanian.

Menurutnya, usaha itu dilaksanakan melalui pembangunan premis pemasaran kekal bagi memudahkan urusan antara usahawan dan pengunjung serta pihak berkuasa tempatan.

"Pembangunan premis pemasaran kekal sebegini oleh FAMA adalah penting dan keberkesanannya juga dapat dilihat semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Premis-premis ini dibenarkan beroperasi sebagai Pasar Segar Terkawal (PST) mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Ia bagi memastikan kelangsungan bekalan dan mempercekapkan pengedaran makanan negara," katanya pada sidang media selepas majlis Program Prihatin Peladang anjuran Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beluran di sini, Ahad lepas.
Terdahulu, Ronald mengadakan lawatan kerja ke tapak projek naik taraf pasar tamu Beluran dan menyampaikan sumbangan sempena Program Sentuhan Kasih Tani.

Beliau berkata, memandangkan tiada lagi negeri berada di Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik sebelum ini, pasar tani di seluruh negara juga dapat beroperasi semula.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 208 daripada 312 pasar tani di seluruh negara mula beroperasi dan selebihnya akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga akhir tahun ini dengan mengadaptasi SOP yang ditetapkan oleh MKN. 

Katanya, pembukaan semula semua pasar tani sahaja di seluruh negara akan memberi manfaat kepada lebih 9,000 usahawan yang dijangka mampu menjana nilai jualan sehingga RM110 juta serta memberi peluang kepada 2.5 juta pelanggan mendapatkan produk agromakanan yang ditawarkan.

Dalam pada itu, Ronald berkata, projek menaik taraf tapak pasar tamu di daerah ini dijangka siap pada pertengahan Mei tahun depan dan ia bakal memanfaatkan kira-kira 170 pengusaha kecil sedia ada.

"MAFI melalui FAMA melaksanakan projek pembangunan berkenaan dengan peruntukan sebanyak RM746,000 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Penaiktarafan pasar tamu Beluran adalah yang keempat di Sabah dan ia bakal memberi kemudahan kepada golongan petani, pengeluar dan usahawan produk pertanian tempatan. Setelah siap dinaik taraf, pentadbiran pasar tamu ini akan diserahkan kepada Majlis Daerah Beluran. 

"Dengan adanya pasar tamu baharu ini, ia akan meningkatkan pendapatan para peserta sekali gus menjadi saluran pasaran produk agromakanan bagi membantu pengusaha kecil memasarkan hasil keluaran sendiri," katanya. 

Ronald berkata, sehingga kini, FAMA menaik taraf dua pasar tamu di Sabah iaitu di Sook Keningau dan Kudat, manakala pasar tamu Kunak masih lagi dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada Mac 2022.

Selain itu katanya, pihak FAMA juga dengan kerjasama Majlis Daerah Beluran dalam proses membangunkan sebuah medan gerai buah-buahan segar di kawasan ini.

Pada majlis itu, Ronald turut menyampaikan sumbangan Prihatin Peladang yang diagihkan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) kepada 1,000 ahli PPK  Beluran serta penduduk setempat.

Menurutnya, NAFAS sebagai sebuah institusi yang menerajui pengerakan pertubuhan peladang perlu terus diperkasakan menjadi badan perniagaan yang berdaya maju sekali gus membina pergerakan yang kompeten dan berdaya saing.

"Saya yakin dan percaya, pertubuhan peladang di semua peringkat akan meneruskan fungsi utamanya dalam memberi perkhidmatan yang berkualiti dan dinamik.

 Ronald (tengah) ketika melawat tapak projek naik taraf pasar tamu Beluran.
LAWATAN: Ronald (tengah) ketika melawat tapak projek naik taraf pasar tamu Beluran.

"PPK juga akan terus berusaha terlibat secara aktif dalam keseluruhan rantaian nilai industri padi negara, meneroka aktiviti nilai tambah dan hiliran khususnya dengan teknologi moden serta digital agar produktiviti dimaksimumkan dan pendapatan dapat ditingkatkan.

"Usaha ini penting supaya model perniagaan yang lebih lestari dapat diwujudkan bagi memberi pulangan lebih baik kepada golongan sasar," jelasnya.

Beliau sentiasa mengikuti prestasi pertubuhan peladang dari semasa ke semasa dan akan menyokong setiap usaha yang dilaksanakan bagi terus memperkasakan pertubuhan peladang menjadi sebuah entiti yang berdaya maju dalam industri agromakanan negara.

Sementara itu, Ronald turut berharap NAFAS terlibat dalam pembangunan Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang dilaksanakan oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

Katanya, konsep SMART SBB melibatkan penyertaan pihak swasta dan NAFAS mempunyai kapasiti menjadi pemain dalam industri padi beras terutama menerusi program berkenaan.

Sehubungan itu, pihaknya ingin melihat NAFAS terlibat bukan sahaja dalam usaha penanaman tetapi dalam keseluruhan rantaian industri padi beras negara.

Beliau berkata, setakat ini lebih 17,000 hektar tanah akan dibangunkan melalui konsep SMART SBB di seluruh negara dan pelaksanaannya di Sabah membabitkan kawasan sawah padi di Kota Belud masih dalam peringkat perbincangan.

Terdahulu, Ronald turut menyampaikan sumbangan MAFI Prihatin kepada 500 penduduk di tiga pulau dekat sini iaitu Pulau Kaniogan, Pulau Bukit Besi dan Pulau Ketabuan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Menurutnya, bagi negeri Sabah setakat ini, pelaksanaan MAFI Prihatin melalui FAMA memberi manfaat kepada seramai 1,113 orang di tujuh lokasi seluruh negeri dengan nilai bantuan berjumlah RM81,000.

"Diharap sumbangan yang disampaikan ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban para penerima terutama dalam menghadapi situasi semasa akibat pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir," katanya.

Sumbangan Prihatin Peladang daripada NAFAS yang disampaikan Ronald (dua kiri) kepada salah seorang penerima.
Sumbangan Prihatin Peladang daripada NAFAS yang disampaikan Ronald (dua kiri) kepada salah seorang penerima.

Salah seorang penerima sumbangan, Saubah Asnin dari Kampung Seri Menanti di sini merakamkan penghargaan atas sumbangan yang diberikan pihak NAFAS.

Ibu kepada sembilan anak ini antara golongan nelayan yang terjejas pendapatan berikutan pandemik COVID-19.

"Saya dan suami hanya bergantung pendapatan dengan menjual hasil tangkapan ketam dan udang di pasar dan juga kepada pembekal.

"Tetapi disebabkan pandemik ini, kami tidak lagi dapat memasarkan hasil tangkapan seperti sebelum ini dan pendapatan juga berkurangan.

"Justeru, dengan adanya pemberian sumbangan seperti ini, ia membantu sedikit untuk meringankan beban kami," katanya.

Turut hadir, Ketua Pengarah FAMA merangkap Ahli Jemaah Pengarah NAFAS Datuk Zainal Abidin Yang Razali dan Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk Samad Jambri.
 

  • oleh
  • Advertisement