Anda di sini

LDP kritik pemikiran ke belakang Pemuda PAS

Advertisement
JIMMY
JIMMY

KOTA KINABALU: Parti Liberal Demokratik (LDP) mengkritik pemikiran ke belakang Pemuda PAS yang mampu membantutkan kejayaan negara ini diperingkat antarabangsa.

Pengerusi LDP Bahagian Karambunai Jimmy Lai berkata, mereka yang mengatakan minuman arak Timah satu 'bencana' adalah menunjukkan pemikiran tidak terbuka. Ia bertentangan dengan semangat 'Keluarga Malaysia'.

"Kenyataan mereka tidak selari dengan semangat kepelbagaian kaum dalam negara ini. Pemikiran seumpamanyalah yang akan menghalau para pelabur ke negara ini.

"Keadaan itu juga akan menyebabkan sesebuah syarikat tidak dapat memaksimumkan potensi dalam inovasi bagi menembusi pasaran global," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, jenama arak berkenaan baru-baru ini telah memenangi anugerah antarabangsa dan membanggakan negara.

"Timah telah membuka pintu kepada produk Malaysia memasuki pasaran antarabangsa.

"Bagaimanapun, agak mengecewakan apabila mentaliti PAS yang mahu menghalang syarikat berkenaan daripada membanggakan negara.

"Menggelar kemenangan itu satu penghinaan kepada negara dan meminta pihak berkuasa membatalkan operasi perniagaan itu," katanya.

Katanya, untuk berdekad lamanya pengeluaran dan penjualan arak oleh masyarakat bukan Muslim di Malaysia tidak pernah mendatangkan ancaman atau kesan kepada komuniti Muslim negara ini.

Selain itu katanya, perniagaan arak mampu memperkasakan ekonomi negara dengan baik. Kini Timah sudah terkenal diperingkat antarabangsa, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mengembangkan aktiviti perniagaan ini untuk eksport ke negara lain.

"Usaha ini sudah pasti akan memanfaatkan ekonomi negara yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

"Janganlah terdapat pemikiran ke belakang ini menjejaskan semangat 'Keluarga Malaysia' khususnya dalam keharmonian negara serta pembangunan perindustrian," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement