Anda di sini

Lapan tunggang basikal lajak ditahan

Advertisement
JOHOR BAHRU: Lapan kanak-kanak dan remaja lelaki ditahan selepas didapati menunggang basikal lajak secara berkumpulan dengan melakukan aksi berbahaya di dua lokasi berbeza, di sini pada 15 dan 16 Okt lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) Supt Fariz Ammar Abdullah berkata kesemua individu berumur antara 10 hingga 15 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik JBU menerusi Operasi Khas Basikal Lajak.

Katanya, lima daripada mereka dikesan melakukan aktiviti itu di Kampung Jaya Sepakat, kira-kira pukul 6.30 petang (15 Okt), manakala tiga lagi di Jalan Laksamana, Taman Ungku Tun Aminah antara pukul 11.30 malam hingga 1 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati basikal-basikal berkenaan telah diubah suai dan tidak mengikut spesifikasi jenis basikal yang selamat untuk ditunggang dan kesemua mereka dibawa ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah JBU untuk soal siasat,” katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata hasil soal siasat mendapati seorang daripada mereka iaitu remaja yang berumur 15 tahun berperanan sebagai formen basikal lajak.

“Ramai rakan remaja ini akan datang ke rumahnya untuk membaiki dan membeli alat tukar ganti, hasil pemeriksaan di rumahnya pula kita menjumpai pelbagai komponen basikal,” katanya.

Beliau berkata penjaga kanak-kanak dan remaja itu turut dipanggil ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah JBU untuk diberikan penerangan mengenai bahaya membawa basikal lajak di jalan raya dan risiko yang bakal dihadapi sekiranya terbabit dalam kemalangan.

Katanya, kesemua lapan kanak-kanak dan remaja terbabit kemudian dikenakan saman mengikut Peraturan 42 (1) (A) LN 166/59 dan basikal lajak mereka turut dirampas mengikut Seksyen 112 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Advertisement