Anda di sini

UMNO miliki struktur kuat dan utuh : Bung

Advertisement
 Bung ketika menyampaikan ucapannya pada mesyuarat berkenaan.
AMANAT: Bung ketika menyampaikan ucapannya pada mesyuarat berkenaan.



PITAS: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menegaskan UMNO tidak berdepan dengan kesukaran untuk memperkukuhkan lagi jenteranya sekiranya semua ahli memainkan peranan masing-masing.


Ini kerana katanya, UMNO memiliki struktur yang lengkap sebagai sebuah parti, yang jelas tersusun bermula dari peringkat tertinggi, bahagian sehinggalah ke peringkat cawangan.


Beliau yakin jika semua jentera Wanita, Pemuda dan Puteri serta bahagian melaksanakan tanggungjawab dan peranan masing-masing, UMNO pastinya akan lebih kukuh untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.


Bung berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian mesyuarat cawangan berkelompok bagi cawangan-cawangan UMNO di Zon Pitas melibatkan dua kawasan DUN iaitu Pitas Dan Bengkoka di Dewan terbuka UMNO Zon Pitas.


Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Dato Sri Mahdzir Khalid.


Mesyuarat tersebut turut dihadiri Timbalan Ketua UMNO Sabah Datuk Yakub Khan; Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin; Ketua UMNO Bahagian Kudat Akram Ismail dan Pengerusi Penyelaras UMNO Pitas yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengkoka Harun Durabi.


Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, struktur sedia ada perlu berfungsi dengan baik terutama membabitkan susun atur gerak kerja disamping mendekati ahli  di peringkat akar umbi dan pengundi termasuklah senantiasa membantu masyarakat yang memerlukan.


"Kegiatan UMNO di semua peringkat cawangan, Wanita, Pemuda, Puteri dan Bahagian bukan berkala tapi perlu sentiasa berjalan bagi membuktikan kita bukan parti bermusim," tegas Bung.


Bung menambah apa yang dihadapi oleh UMNO ketika ini apabila Pemimpin UMNO Datuk Sri Ismail Sabri Yaakub diangkat menjadi Perdana Menteri merupakan satu rahmat yang Allah berikan kepada seluruh ahli UMNO.


"Pada pilihan raya lalu, UMNO diuji dengan pelbagai cabaran, yang mana kita tidak dapat membentuk kerajaan. Keperitan menjadi pembangkang dahulu perlu dijadikan sebagai pembakar semangat disamping memperbaiki kelemahan lampau.


"Semua pemimpin dan ahli UMNO perlu insaf dan istiqamah dan berusaha memperbaiki kelalaian, " katanya.


Dalam pada itu, Bung memberitahu, walaupun terdapat dakwaan yang mengatakan UMNO Sabah sudah terkubur selepas PRU-14 lalu, beliau menjelaskan dakwaan itu adalah tidak benar malah satu cawangan mahupun Bahagian tidak pernah dibubarkan.


Situasi ini jelas menunjukkan slogan parti, 'Dulu, Kini dan Selamanya' tetap utuh dalam jiwa ahli-ahli UMNO di Sabah dan ini membuktikan UMNO masih lagi releven dan bukan sebaliknya seperti yang didakwa.


Justeru Bung mahu mesyuarat cawangan-cawangan di seluruh Bahagian di negeri ini berjalan dengan lancar dan mahu mesyuarat kali ini dijadikan sebagai platfrom untuk muafakat serta mengatur strategi untuk menghadapi PRU ke-15 akan datang.

  • oleh
  • Advertisement