Anda di sini

KPLB setuju cadangan harga lantai getah sekerap dinaikkan

Advertisement
 Mahdzir (tengah) menunjukkan produk getah yang diproses semasa melawat kilang berkenaan.
LAWATAN: Mahdzir (tengah) menunjukkan produk getah yang diproses semasa melawat kilang berkenaan.

TAMPARULI: Kenaikan harga lantai getah sekerap dari RM2.50 kepada RM3.50 sekilogram mampu mengelakkan pekebun kecil getah beralih ke tanaman komoditi lain.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jika harga komoditi itu masih pada tahap lama, pekebun kecil getah akan beralih ke tanaman komoditi lain yang harganya lebih tinggi terutama kelapa sawit.

"Bila ada perbandingan antara harga getah dan kelapa sawit, banyak pekebun kecil beralih untuk menanam kelapa sawit berikutan harga getah lebih rendah.

"Justeru, saya menyokong harga lantai getah dapat dinaikkan walaupun ia agak sukar dilaksanakan namun kita mesti mencari jalan.

"Jika tidak, harga lantai getah sekerap masih rendah dan pekebun kecil getah juga akan beralih ke tanaman kelapa sawit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat Kilang Getah SMR Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) di sini semalam.

Sebelum ini media melaporkan supaya kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram mulai Januari tahun hadapan.

Langkah itu bagi membantu lebih ramai penoreh getah keluar dari garis kemiskinan.

Mahdzir berkata, jika senario pekebun kecil getah beralih ke tanaman lain secara berterusan, negara akan kehilangan penghasil komoditi getah.

"Selain harga lantai, ruang lebih luas untuk menjual hasil getah dan meluaskan kawasan tanaman getah adalah dua lagi perkara penting bagi membantu pekebun kecil getah dalam meningkatkan pengeluaran sekali gus dapat meningkatkan tahap sosio-ekonomi mereka.

"Agensi kerajaan negeri seperti Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) turut memainkan peranan membantu 80,000 pekebun kecil getah di negeri ini dalam memberikan ruang untuk mereka menjual hasil getah.

"Ketika ini, LIGS mempunyai tiga kilang pemprosesan getah iaitu di Tamparuli, Tenom dan Beufort," jelasnya.

Beliau berkata, kilang getah di Tamparuli mempunyai 300 pekerja dan mereka mempunyai kapasiti memperoses getah 150 tan sehari dan 50,000 tan setahun.

Menurutnya, selain untuk pasaran tempatan, produk getah dari kilang berkenaan juga dieksport ke luar negara antaranya China untuk pembuatan produk seperti tayar," katanya.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim; Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1 Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Ramlan Harun.
 

  • oleh
  • Advertisement