Anda di sini

426 kes baharu di Sabah, angka terendah sejak 16 Julai

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan 426 kes baharu semalam dan jumlah ini adalah angka terendah yang direkodkan sejak 16 Julai lalu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata jumlah kes yang direkodkan menunjukkan penurunan secara mendadak dengan pengurangan sebanyak 269 kes berbanding hari sebelumnya.

“Semua daerah di Sabah mencatatkan bilangan kes dibawah paras 50 dan hanya lima daerah mencatatkan peningkatan kes pada jumlah kecil atau sederhana.

“Kota Belud mencatatkan penurunan ketara sehingga penurunan sebanyak 78 kes, diikuti Kudat berkurang 44 kes, Beaufort 32 kes, Tenom 21 kes, Keningau 14 kes, Tuaran 14 kes dan Tawau 14 kes,” katanya.

Masidi berkata hanya 266 kes bersamaan 62.43 peratus adalah kes yang berlaku dalam tempoh 24 jam dan kes selebihnya adalah kes yang didaftar lewat melebihi dua hari selepas keputusan saringan diketahui.

“Sebahagian kecil daripada jumlah keseluruhan pesakit dikategori pada tahap kritikal iaitu hanya dua kes bagi kategori lima, empat kes pada kategori empat dan seorang pesakit bagi kategori tiga manakala 96.48 peratus di kategori satu dan dua.

“Lapan kes yang lain masih dalam penilaian pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya.

Masidi turut menasihatkan masyarakat agar terus patih terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan berikutan faktor utama yang mempengaruhi perubahan angka setiap hari adalah sikap penduduk itu sendiri.

  • oleh
  • Advertisement