Anda di sini

PGU laksana latihan menyelamat di Gunung Kinabalu

Advertisement
 Latihan menyelamat dilaksanakan di tapak pendaratan Paka di kawasan Gunung Kinabalu.
UJI: Latihan menyelamat dilaksanakan di tapak pendaratan Paka di kawasan Gunung Kinabalu.
 Pasukan memerhati kawasan Gunung Kinabalu bagi mengenalpasti tapak pendaratan yang sesuai dan selamat.
LATIHAN: Pasukan memerhati kawasan Gunung Kinabalu bagi mengenalpasti tapak pendaratan yang sesuai dan selamat.

RANAU: Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia Pangkalan Sabah berjaya melaksanakan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) ‘High Altitude Flying and Mountain Operation’ Rintis Kinabalu sebagai Latihan Operasi dan Menyelamat melibatkan kawasan pergunungan.

Komander Pangkalan PGU sabah Asisten Komisioner Ahmad Lokman Abdul Hadi berkata latihan di Gunung Kinabalu ini diadakan bagi menguji kemampuan pesawat helikopter Agustawesland AW139 serta juruterbang dan pemerhati udara dalam mengendalikan pesawat tersebut.

“Latihan ini turut diadakan bagi mendapatkan kelayakan semua juruterbang yang berada di Pangkalan Sabah untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan menerbangkan pesawat dan mendarat di kawasan tanah tinggi.

“Ini disebabkan pelaksanaan penerbangan sebegini amatlah memerlukan kemahiran dan kompetensi yang tinggi disamping sebagai persiapan ‘Search And Rescue Exercise’ (SAREX) yang dijadualkan akan berlangsung pada bulan November dan Disember depan,” katanya.

Menurutnya latihan pendaratan tersebut berjaya dilaksanakan di tapak pendaratan Paka di kawasan Gunung Kinabalu yang turut disertai Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Simiun Lomudin bersama Pengurus Taman - Taman Sabah (TTS) Kinabalu Park Maureen Jane Tapuong beserta Renjer TTS yang membantu mengenalpasti tapak pendaratan yang sesuai dan selamat. 

“Hasil tinjauan terbabit, beberapa cadangan diberikan bagi penambahbaikan tapak pendaratan termasuklah menurap lantai serta memasang petunjuk arah mata angin (wind sock).

“Pembinaan tangga keselamatan untuk ke tapak pendaratan dan membina tapak untuk transit stretcher juga perlu dilakukan sementara mangsa menunggu pesawat untuk melakukan pendaratan,” katanya.

Tambahnya kekuatan fizikal dan mental bagi team pendaki PGU Sabah yang berperanan sebagai penilai tapak turut diuji dan kejayaan mendaki sehingga ke puncak Gunung Kinabalu adalah bukti kebolehupayaan ini.

Beliau berkata latihan disertai seramai 34 pegawai dan anggota PGU dari pelbagai seksyen seperti kru penerbangan helikopter melibatkan dua Jurulatih Penerbangan dari PGU Pangkalan Semenanjung dan Unit Dron PGU Sabah.

  • oleh
  • Advertisement